Selasa, Disember 22, 2009

Utusan Malaysia: Kedah yakin rampas semula trofi

Oleh AZIAN AZIZ
sukan@utusan.com.my



Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) menyerahkan Piala Emas Raja-Raja kepada Rozali Ismail (kiri) sambil diperhatikan oleh Takiyuddin Hassan pada majlis penyerahan piala tersebut di Shah Alam, semalam.
___________________________________________________________________________

SHAH ALAM – Kedah yakin dapat merampas kembali Piala Emas Raja-Raja yang pernah dimenanginya sebanyak enam kali apabila menentang Perlis pada perlawanan akhir di Stadium Darul Aman, 28 Disember ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Syed Ahmad Shukri Syed Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi pasukan yang cemerlang sepanjang kempen kejohanan ini.

Beliau berkata, selain kapten pasukan, Amirul Nizam Mahathir, Kedah menyandarkan harapan besar kepada penyerang mudanya, Mohd. Faizul Abu Bakar yang telah menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan berlangsung bagi membantu skuad hijau kuning itu menjadi juara.

‘‘Kali terakhir kita menjadi juara ialah pada 2005 dan dengan keadaan kita sekarang, saya yakin pasukan Kedah akan membawa pulang kejuaraan.

‘‘Apatah lagi kita bermain di tempat sendiri pastinya semangat untuk bangkit menyambung tradisi kecemerlangan akan lebih lagi,” katanya yang ditemui pada majlis penyerahan Piala Emas Raja-Raja kali ke-69 di sini, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga merangkap Penasihat Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Pengerusi PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 akan menerima RM30,000 berserta piala pusingan sementara naib juara akan membawa pulang RM15,000.

Sementara itu, Amirul Nizam ketika ditemui turut melahirkan keyakinan yang pasukannya dapat menumpaskan Perlis 2-1 pada pertemuan akhir nanti.

‘‘Kami punya kelebihan kerana mempunyai gabungan pemain lama yang terdiri bekas pemain Liga Super dan baru selain sokongan dan tunjuk ajar jurulatih kami, Mohamad Ramlee.

‘‘Bagaimanapun kami tidak memandang rendah kebolehan skuad Singa Utara kerana mereka juga tidak kurang hebatnya,” tambah beliau yang mengharapkan sokongan padu peminat bola sepak sepak Kedah.

Bagi kapten pasukan Perlis, Adrien Jurad a/l Chamrong, beliau dan pasukannya akan bermain bersungguh-sungguh untuk membawa kembali Piala Emas Raja-Raja yang pernah dimenangi pada tahun 1993.

‘‘Kami akan berusaha untuk menjadi juara dan tidak akan menghampakan penyokong Perlis,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rozali ketika bercakap pada sidang akhbar yakin perlawanan pukul 8.30 malam di Stadium Darul Aman nanti menyaksikan kehadiran lebih 20,000 penonton yang terdiri daripada peminat bola sepak kedua-dua pasukan.

Beliau berkata, Puncak Niaga akan menaja sejumlah tiket percuma untuk sekolah-sekolah terpilih di Kedah dan Perlis selain membawa 100 ahli Pasukan Briged Penyelamat Sungai Puncak Niaga dari Selangor untuk menonton perlawanan di Kedah.

‘‘Kita juga akan menghantar jemputan kepada baginda Sultan Kedah dan Raja Perlis untuk menyaksikan perlawanan ini,” katanya.

Lebih 20,000 tiket akan dijual untuk perlawanan kali ini pada harga RM5, RM10 dan RM15.

Tiada ulasan: