Sabtu, Disember 26, 2009

Sinar Harian: Kedah mahu julang Piala Emas Raja-raja 2009

ALOR SETAR- Pemain pasukan Kedah kini sedang menyiapkan diri mereka untuk bertemu dengan pasukan Perlis pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-raja yang bakal berlangsung Isnin ini di Stadium Darul Aman.

Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee berkata, anak buahnya kini sedang menjalani latihan pada setiap petang bagi memastikan kesefahaman di antara pemain.

Menurutnya, latihan yang diadakan itu bukan sahaja mencari persefahaman antara pemain malah turut menumpukan pada bahagian tengah dan serangan dalam memantapkan permainan.

“Sewaktu bertemu Singapura tempoh hari kita lihat terdapat kelemahan, dan latihan kali ini kita lebih fokus pada dua bahagian itu.

“Selain itu kita masih mengekalkan lima pemain daripada Liga Super Kedah yang dapat membantu pemain lain beraksi pada malam kemuncak itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad berkata, pasukan Kedah yang pernah bertemu Perlis sewaktu pusingan awal tempoh hari menyaksikan pasukan itu bukanlah pasukan yang mudah untuk ditumbangkan dan oleh kerana itu beliau mahu memastikan anak buahnya sentiasa bersemangat sepanjang perlawanan.

“Apa yang diharapkan kini daripada pemain adalah komitmen penuh untuk berlatih dan berentap pada perlawanan itu dan segala yang dirancang sepanjang latihan dapat berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, dia juga ingin peminat Hijau Kuning sekali lagi dapat hadir ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan Kedah.

Tiada ulasan: