Jumaat, Disember 04, 2009

BERNAMA: Bola sepak Piala Dunia Melayu Dirancang Untuk 2011

SHAH ALAM, 4 Dis (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) bercadang kejohanan Piala Dunia Melayu pada 2011, kata presidennya Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata bahawa untuk tahun depan, Kejohanan Melayu Nusantara, akan dianjurkan dengan melibatkan semua negara jiran yang mempunyai pemain Melayu.

"Kita akan buka penyertaan kepada mana-mana negara jiran kita tak kiralah Indonesia, Brunei, Singapura yang mempunyai orang Melayu supaya menyertai pertandingan ini," katanya kepada pemberita pada pelancaran logo Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Agong dan Puncak Piala Emas Raja-Raja ke-69 di sini Jumaat.

Takiyuddin berkata pertandingan itu bertujuan mengembalikan era kegemilangan bola sepak orang Melayu selain mencungkil pemain-pemain baru.

Beliau berkata Piala Dunia Melayu yang dirancangan pada 2011 bertujuan menaikkan prestij bola sepak yang disertai pemain-pemain Melayu dari seluruh dunia.

Terdahulu, Takiyuddin turut mengumumkan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd sebagai penaja utama Kejohanan Bola Sepak Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja ke-69 pada tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Tan Sri Rozali Ismail menyampaikan cek tajaan bernilai RM200,000 kepada Takiyuddin pada majlis itu.

--BERNAMA

Tiada ulasan: