Isnin, Disember 28, 2009

Berita Harian: Kedah azam tebus kehampaan

Oleh Bashah Zainol Abidin
bhsukan@bharian.com.my



KETUA jurulatih Kedah, Mohamed Ramlee (dua dari kiri) dan pengurus pasukan, Mohd Firdaus Jaafar (kiri) memberi taklimat kepada pemain Kedah, semalam


DETIK kecewa gagal mempertahankan tiga mahkota kejuaraan dalam Liga Malaysia, musim ini sekadar membuat pemain Kedah bertambah selera mahu menebus kehampaan itu apabila menentang pasukan tetangga, Perlis dalam final kejohanan bola sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darulaman, malam ini.

Pengurus pasukan, Mohd Firdaus Jaafar meluahkan pandangan bahawa ini adalah detik yang tepat untuk menjuarai kejohanan peringkat kebangsaan dan ketika sama hadiah sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah.

Tidak dinafikan peminat setia Kedah dahagakan kejayaan selepas pasukan Hijau Kuning gagal mempertahankan trofi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA yang dimenangi dua musim berturut-turut sebelum ini.

"Barisan pemain muda saya membuktikan kemampuan mereka dengan mengatasi cabaran juara bertahan Kelantan pada suku akhir dan mengetepikan cabaran Singapura pada peringkat separuh akhir dan kini saya yakin mereka mampu mengejutkan Perlis, esok (malam ini).

"Empat pemain pasukan dari skuad Liga Super, Mohd Al-Hafiz Hamzah, Shaffiq Jamal, Mohd Fazliata Taib dan Chun Keng Kong berjaya bergandingan baik bersama barisan pemain muda untuk melakar kejayaan bagi beraksi pada perlawanan akhir.

"Saya yakin Mohd Faizal Abu Bakar yang sudah berjaya menjaringkan enam gol sehingga perlawanan separuh akhir mampu meneruskan kecemerlangan pada perlawanan esok (malam ini) untuk kita dinobatkan sebagai juara musim 2009," kata Firdaus.

Tiada ulasan: