Ahad, Disember 06, 2009

Puncak PERR: Kedah benam juara bertahan

Kedah 2 Chun Keng Hong 3', Mohd Faizal Abu Bakar 28'
Kelantan 2 Khairul Zal Azmi Zainuddin 6', 58'
(Kedah menang 4-2 menerusi sepakan penalti)

ALOR SETAR, 5 Dis - Ribuan penyokong pasukan Kedah yang membanjiri Stadium Darulaman malam tadi untuk menyaksikan pertembungan antara Kedah dan Kelantan tidak pulang hampa apabila anak didik Mohamad Ramlee berjaya membenam cabaran skuad Kijang pada perlawanan suku akhir kedua kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009.

Penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah yang menggalas tanggungjawab selaku kapten pasukan Kedah muncul wira apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan awal Kelantan sekaligus membantu Kedah memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 4-2.

Menyedari keputusan seri 0-0 pada suku akhir pertama di Kota Bharu Isnin lalu yang memberi kelebihan kepada tuan rumah, Kedah yang diperkuatkan oleh beberapa pemain Liga Super, bermula garang melalui gol pembukaan pemain Pulau Pinang, Chun Keng Hong seawal minit ketiga.

Tersentak dengan gol awal itu Kelantan segera bangkit untuk menyamakan kedudukan melalui Khairul Zal Azmi Zainuddin selang tiga minit kemudian akibat daripada kesilapan pertahanan Kedah yang gagal mengeluarkan bola bahaya dari dalam kotak penalti.

Kesungguhan barisan pemain muda Kedah untuk mencipta kemenangan terserlah melalui pergerakan pantas ke kubu Kelantan, Mohd. Faizal Abu Bakar berjaya menolak masuk bola hantaran Mohd Naim Yusoff menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd. Halim Napi untuk mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Barisan pertahanan Kedah yang agak kehilangan punca pada awal separuh masa kedua menyaksikan Kelantan berjaya kembali mengikat keputusan sekali lagi melalui Khairul Zal Azmi pada minit ke-58.

Berbaki 32 minit masa sebenar dan 30 minit masa tambahan, kedudukan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Kedah dan Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain setelah pengadil melayangkan kad merah. Masing-masing kehilangan pemain pada minit ke-68 dan 110.

Pada penentuan penalti, keempat-empat pemain Kedah iaitu Faizal, Chun Keng Hong, Rohazren Mat Ali dan Md. Nor Safwan Md. Zain berjaya menyempurnakan tugas masing-masing dengan Al-Hafiz selaku penjaga gol hanya membenarkan dua sepakan penalti Kelantan membolosi gawang Kedah.

Dengan kemenangan ini bermakna pasukan Kedah akan menyeberangi Tambak Johor menentang Singapura bagi perlawanan separuh akhir pertama Sabtu ini.

Pada perlawanan suku akhir yang lain Singapura menang 6-5 ke atas PDRM pada masa tambahan.

Manakala Johor menewaskan Kuala Lumpur 6-3 untuk mara ke separuh akhir dengan aggregat 9-4. Menanti Johor pada separuh akhir pertama di Kangar, 12 Disember ini ialah pasukan Perlis yang mengalahkan ATM 3-1 di Stadium Mindef.

KEDAH: Muhd Al-Hafiz Hamzah, Chun Keng Hong, Mohd Sany Mat Isa, Mohd Zulfaizham Kamis, Muammar Nur Halim Rahim (Mohd Nizat Salleh), Md Nor Safwan Md Zain, Amirul Nizam Mahadzir, Tan Yang Wei (Mohd Imran Azhar), Rohazren Mat Ali, Mohd Arfan Rashid, Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Naim Yusoff (Muhd Alif Aswat Baharin)

KELANTAN: Mohd Halim Napi, Mohd Nazrul Mohd Noor, Tengku Zamri Tengku Hassan, Syamsul Rizal Razali, Mohd Halim Che Hassan, Nik Hamzah Nik Man, Mohd Sani Nawi, Mohd Ailim Fahmi Kamaruddin, Arman Jusoh, Mohd Asmie Amir Zahari, Khairul Zal Azmi Zainuddin

Tiada ulasan: