Selasa, Disember 01, 2009

PERR 2009: Kedah ikat Kelantan di Kota Bharu

Kelantan 0
Kedah 0

Beraksi dalam keadaan padang yang basah dan licin di hadapan lebih 2,000 penyokong, Kedah berjaya mengikat tuan rumah Kelantan 0-0 untuk membawa pulang sedikit kelebihan sebelum kembali berentap di Stadium Darulaman 5 Disember ini bagi saingan suku akhir kedua Piala Emas Raja-Raja.

Kelantan yang diketuai oleh pemain Liga Super Azlan Ismail berjaya menguasai keseluruhan permainan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya dan hampir-hampir membolosi gawang Kedah.

Hujan semakin lebat sebaik sahaja babak kedua permainan bermula dan Kelantan terus garang mengasak ke kubu pasukan Kedah yang ditunjangi ketua pasukan yang juga merupakan pemain Liga Super Mohd Fazliata Taib dan Chun Keng Hong terus bertahan untuk mematahkan serangan skuad bimbingan Anizan Daud.

Minit ke-55, Kedah mempunyai peluang terbaik untuk dimanfaatkan melalui pergerakan solo Muammar Nur Halim Rahim di sebelah kiri pintu gol Kelantan. Namun sepakan lemahnya berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol veteran Halim Napi.

Pada lewat babak separuh masa kedua Azlan Ismail yang bakal menyarung jersi Kedah bagi saingan Liga Super musim hadapan memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol melalui satu tandukan bagaimanapun melewati palang gol Kedah. Kedudukan kekal tanpa sebarang gol dijaringkan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Perlawanan kedua peringkat suku akhir akan berlangsung di Stadium Darulaman jam 8.45 malam Sabtu ini.


KEDAH:
Muhd Al-Hafiz Hamzah, Mohd Fazliata Taib, Mohd Sany Mat Isa, Chun Keng Hong, Muammar Nur Halim Rahim, Md Nor Safwan Md Zain, Amirul Nizam Mahadzir, Tan Yang Wei (Mohd Amin Md Akhir), Wan Mohd Asraf Wan Ali (Rohazren Mat Ali), Mohd Arfan Rashid, Mohd Naim Yusoff (Mohd Nizat Salleh)

Tiada ulasan: