Isnin, Julai 27, 2009

Mesyuarat Agung PBMK 2009

Mesyuarat Agung PBMK 2009/2010 telah ditunda sebagaimana ketetapan berikut:
TARIKH: Khamis, 20 Ogos 2009
MASA: 5.00 petang
TEMPAT: Pejabat PBMK, Astaka Lama, Stadium Darulaman,
Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Jumaat, Julai 24, 2009

Kelab Bekas Pemain Bola Sepak Negeri Kedah

Tanggal hari Rabu, 22 Julai 2009 hasil cetusan idea Timbalan Presiden II PBMK, telah tertubuhnya 'Kelab Bekas Pemain Bola Sepak Negeri Kedah' yang dipayungi oleh PBMK bertujuan untuk menghimpunkan kembali bekas pemain-pemain bola sepak negeri Kedah dari setiap era seperti Looi Loon Teik, Roshidi Shaari, Khor Sek Leng@Mohd Azraai Khor Abdullah, Jamaludin Hasan, Ahmad Sabri Ismail, Nidzam Adzha Yusoff sehinggalah munculnya nama seperti Amirul Nizam Mahadzir.

Ditunjangi oleh nama-nama besar bola sepak Kedah suatu masa dahulu seperti Mohamad Ramlee, Idris Man, Husin Jaafar Zulkifli Hassan dan Amirul Nizam Mahadzir.
Perancangan utama selepas terbentuknya kelab ini untuk mengadakan aktiviti seperti:

1) Membentuk 'The Veteran Dream Team' seterusnya akan cuba menjelajah ke seluruh daerah di negeri Kedah untuk mengadakan siri perlawanan pertunjukan dan persahabatan dengan pasukan-pasukan veteran lain.

2) Mengadakan majlis 'Malam Amal Biar Jasa Jadi Kenangan' untuk menghimpunkan kembali bekas pemain-pemain Kedah di dalam satu majlis khas bersama-sama dengan peminat no. 1 Hijau Kuning iaitu KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.

3) Mengadakan 'Perlawanan Nostalgia' menentang veteran Singapura yang mana hasrat ini juga pernah disuarakan sendiri oleh bekas permata import Kedah, V. Sundramoorthy untuk membawa bekas pemain-pemain Singapura menyeberangi Tambak Johor dan beraksi di Stadium Darul Aman selain dapat menyingkap kembali nostalgia perlawanan akhir Piala Malaysia 1990 dan 1993.

4) Mengumpul dana untuk membantu dari segi kebajikan bekas pemain-pemain Kedah yang mempunyai masalah kesihatan, kewangan dan sebagainya.

"Biar Jasa Jadi Kenangan"


Rabu, Julai 15, 2009

Setahun Pemergian Allahyarham Dato' Paduka Hj Ahmad Basri Mohamad Akil...

Tanggal 15 Julai 2009 genap sudah setahun pemergian 'Bapa Pembangunan Bola Sepak Negeri Kedah'. Namanya sudah sinonim dengan dunia bola sepak di seantero Malaysia. Kehilangannya amat dirasai tatkala rakyat jelata di negeri Kedah sedang berbangga menyambut Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman pada tarikh yang sama tahun lalu.

Pemergian Allahyarham Datuk Paduka Hj. Ahmad Basri cukup dirasai oleh seluruh warga PBMK. Ketika hayatnya sebelum hukuman penggantungan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jawatan selaku Presiden PBMK adalah hak mutlak Allahyarham. Dengan penuh kesabaran, PBMK terus menantikan tempoh penggantungannya itu tamat untuk membenarkan Allahyarham kembali ke lapangan pengurusan bola sepak di negeri Kedah. Umpama menunggu bulan jatuh ke riba, Allahyarham telah pergi meninggalkan PBMK dan dunia bola sepak tanahair buat selama-lamanya...

Jika tidak kerana buah fikiran dan kebolehan Allahyarham Datuk Paduka Hj. Ahmad Basri, tidak mungkin wujud simbol sebilah keris yang bersarung serta kombinasi ideal warna merah, hijau dan kuning yang terdapat pada logo PBMK.

Sesungguhnya, jika hendak terus diperkatakan tentang kebolehan, jasa serta peninggalan beliau di dalam menyumbang pelbagai idea kreatif dan kritis terhadap sukan bola sepak mahupun PBMK sendiri, mungkin tidak cukup ruang yang tersedia ini. 'Pemergianmu tiada galang-gantinya'...

Salam takziah dari seluruh ahli PBMK.

Al-Fatihah......

BADRUL HISHAM HJ. MOHD RIDHWAN
Penolong
Setiausaha Kehormat PBMK