Selasa, November 02, 2010

Piala Emas Raja-Raja Semakin Dijunjung


SUMBER:
shaukeisports


Sabtu lalu, kerancakkan Liga Bolasepak Malaysia menghidangkan perlawanan akhir Kelantan/Negeri Sembilan, dengan Kelantan menamatkan penantian panjang untuk ditabal sebagai juara edisi 2010, syabas Kelantan.

Bermula Jumaat ini, Kejohanan yang mempunyai tinta emas bolasepak negara kita, Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-70 akan memulakan cabarannya dengan 16 pasukan bakal memulakan aksi-aksi pusingan awal diempat lokasi.

Pasukan-pasukan mengikut kumpulan adalah seperti berikut;

Kumpulan A; Perlis (Tuan Rumah), Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur.
Kumpulan B; Kelantan (Tuan Rumah), Johor, ATM, Pulau Pinang.
Kumpulan C; Perak (Tuan Rumah), Kedah, Selangor, Melaka
Kumpulan D; MASUM (Tuan Rumah), Singapura, Terengganu, PDRM.

Jadual pertandingan suku akhir pula akan berlangsung pada 13 dan 20 November, diikuti separuh akhir 28 November dan 4 Disember manakala final pada 11 Disember 2010.

Untuk makluman, Astro Arena telah memberi kerjasama akan menyiarkan perlawanan-perlawanan kumpulan D secara langsung mulai 5 November ini. Sokongan yang diberikan Astro Arena bakal mencatat lembaran baru buat Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia khususnya, diharapkan dengan siaran itu nanti setidak-tidaknya peminat-peminat bolasepak tempatan berpeluang untuk mengikuti satu lagi kejohanan bolasepak tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Seperkara yang mungkin timbul nanti dikalangan para peminat kelak, kenapa tumpuan hanya diberikan terhadap kumpulan D dan tidak perlawanan-perlawanan awal kumpulan-kumpulan lain?. Inilah yang mahu saya kongsikan dengan anda semua, bahawa apa yang dimainkan oleh Astro Arena ini adalah sesuatu yang baik diperingkat awal sokongan mereka.

Mungkin tidak ramai dikalangan kita yang menyedari bahawa faktor kos merupakan perkara asas untuk melakukan sesuatu liputan, apa lagi yang bersifat "LIVE". Disamping faktor-faktor lain, kita harus memahami bahawa untuk Astro Arena menghantar krew penerbitannya ke lokasi-lokasi lain ia memerlukan perbelanjaan tinggi.

Mungkin juga sebahagian daripada kita tidak mengetahui bahawa untuk liputan sesuatu perlawanan bolasepak mahu pun sukan-sukan lain diluar Lembah Kelang, ia memerlukan perbelanjaan sekitar RM70 ke RM80 ribu bagi menampung kos penerbitan dan masa siaran sesuatu liputan. Faktor kos ini juga bergantung jumlah hari yang diperlukan untuk melakukan sesuatu liputan itu disamping pengelibatan "direct cost" lain.

Justeru itu sebagai Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Astro Arena dan krew penerbitannya diatas keperihatinan mereka membantu PBSMM kearah meningkatkan perhatian masyarakat khususnya memenuhi selera peminat-peminat bolasepak dinegara ini.

Bukan setakat perlawanan awal kumpulan D sahaja yang akan disiarkan secara langsung, dua perlawanan peringkat separuh akhir dan Final juga telah dipersetujui oleh Astro Arena untuk menyiarkannya secara langsung.

Saya juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Puncak Niaga (M) Sdn.Bhd yang turut tampil membantu PBSMM sebagai penaja buat kali kedua berturut-turut kearah memastikan perjalanan kejohanan ini berjalan lancar.

Sehubungan itu saya menyeru kepada peminat-peminat bolasepak tempatan dilokasi-lokasi awal peringkat kelayakan, datanglah ke stadium-stadium berdekatan anda atau tontonilah saluran Astro Arena untuk sama-sama kita memeriahkan kejohanan penutup kalendar bolasepak negara, Puncak Piala Emas Raja-Raja 2010

Ahad, September 26, 2010

FusionExcel International Taja RM32,000 kepada Pasukan Melayu Kedah


Pasukan Melayu Kedah yang meletakkan matlamat untuk berada di pentas final kejohanan bola sepak Piala Emas Raja-Raja buat kali kedua berturut-turut mendapat suntikan semangat apabila FusionExcel International Sdn. Bhd. bersetuju untuk memberikan penajaan produk.

Melalui usaha Kumpulan ‘Energy for All’ (EFA Group of ASEAN) yang bergerak aktif di sekitar kawasan utara, FusionExcel menjadi antara penyumbang terawal kepada Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK) dengan komitmen bernilai RM32,000 berupa produk kesihatan dan tenaga seperti loket dan termos kuantum sehingga berakhirnya saingan Piala Emas Raja-Raja penghujung Disember ini.

Majlis penyerahan penajaan telah berlangsung Jumaat lalu di Hotel Seri Malaysia Alor Setar dengan pasukan Melayu Kedah diwakili Presiden PBMK, Dato' Hj. Mahfuz Omar sementara dua orang Pengarah Presiden FusionExcel International, Dr. Mohd Fadil Samion dan Mohd Pidzeni Md Amin mewakili syarikat berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli majlis PBMK, Mohd Firdaus Jaafar, Syed Ahmad Syukri Syed Abdullah, Badrul Hisham Mohd Ridhwan, Pengarah Eksekutif FusionExcel International, Mohd Naain Said dan Pengarah FusionExcel International, Muhamad Sahabudin Senawi.

Dato’ Mahfuz dalam ucapannya melahirkan harapan agar sumbangan besar daripada FusionExcel ini dapat menjadi pembakar semangat seterusnya melonjakkan prestasi pemain-pemain pasukan Melayu Kedah ke tahap yang paling optimum bagi menghadapi kejohanan Piala Emas Raja-Raja yang akan bermula 5 November depan.

Menurut beliau lagi, PBMK juga amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh FusionExcel sebagai syarikat korporat, bukan sahaja untuk mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat tetapi juga sebagai salah satu cabang pembangunan sukan di Malaysia.

Sementara itu, Mohd Pidzeni menyifatkan penyertaan mereka bersama PBMK sebagai satu penghormatan setelah melihat potensi yang ada pada pasukan Melayu Kedah selain untuk mendekati ahli-ahli sukan di negeri ini agar bakat yang ada pada mereka dapat dikembangkan untuk mencapai kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.

Khamis, September 23, 2010

Senarai Pegawai dan Pelatih Pasukan Melayu Kedah 2010


PEGAWAI


KETUA JURULATIH: MOHAMAD BIN RAMLEE

PENOLONG JURULATIH: ZULKIFLI BIN MAHMUD

JURULATIH PENJAGA GOL: ISSHAMWIL BIN AZMI

PEGAWAI FISIOTERAPI: MOHD SYAHRIZAL BIN MOHD NADZIR / ROSHYDY BIN ABDUL RAHIM

KITMAN: MOHD SALEH BIN ISMAIL / MD ZAIN BIN SAAD

PEGAWAI PERHUBUNGAN: BADRUL HISHAM BIN MOHD RIDHWAN



PEMAIN


Penjaga Gol:

MOHAMMAD FIRDAUS BIN ABD ROZAK

MOHD ROSYIDI BIN MD SAREB


Pertahanan:

MOHD ZULFAIZHAM BIN KAMIS

MOHAMMAD NIZAT BIN SALLEH

MUAMMAR NUR HALIM BIN RAHIM

FUGERSON AK SOKOLINKAM

LEW HAN HUNG

MOHD SUFFIAN BIN SAAD

MOHD SOLLAHUDIN BIN MOHD SAID

NARENTHIRAN A/L DASARATHAN

MOHAMAD HAFIZEE BIN HAMID

MOHD KHAIROL BIN OTHMAN

PUTRA ALIF BIN


Pemain Tengah:

MUHAMMAD FIQRRY BIN MD ISA

MUHAMMAD BAHIYUDDIN BIN RAZALI

ANOND A/L CHIM

MOHD FAIRUS BIN HASHIM

MOHAMAD HISYAM BIN MOHD SHOFI

MUHAMMAD KHIDHIR BIN AHMAD MUZAFAR

ABDULLAH BIN YUSOFF

AMMER SYAFIQ BIN ISHAK

ROHAZREN BIN MAT ALI


Penyerang:

WAN MOHD ASRAF BIN WAN ALI

MOHD HAZWAN BIN ZAINUN

MOHD SHAMIR BIN HALIM

MUHAMMAD MUZAWWIR BIN MOHTAR

MUHAMMAD ALIF ASWAT BIN BAHARIN

Isnin, Ogos 16, 2010

Kem Khas Pemilihan Pasukan Melayu Kedah 2010 'Gagal'


'Buntu dan gagal'. Itulah gambaran yang telah diberikan oleh barisan jurulatih serta jawatankuasa pemilihan pemain skuad Melayu Kedah pada tahun ini.

Walaubagaimanapun 'buntu' dan 'gagal' bukannya bermaksud bahawa jawatankuasa pemilihan yang diketuai oleh Mohamad Ramlee selaku ketua jurulatih masih belum mampu mencari barisan terbaik. Masalah yang dihadapi ialah terlalu ramai pemain berpotensi yang mampu diserapkan ke dalam senarai 20 orang pemain.

Objektif utama Kem Khas Pemilihan Pasukan Melayu Kedah 2010 lalu yang berlangsung selama tiga hari juga telah lari daripada matlamat asal kerana masih terdapat 30 pemain untuk disenarai pendekkan.

Namun, apa yang boleh dibanggakan bagi sesi pemilihan tahun ini ialah lapan orang pemain yang belum pernah mewakili negeri Kedah pada sebarang kejohanan besar telah berjaya dikesan dan digilap oleh Mohamad Ramlee, Isshamwil Azmi dan Zulkifli Mahmud.

Rabu ini sesi latihan pertama akan bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar. Tugas berat menanti jawatankuasa pemilihan untuk menentukan 20 pemain terbaik pada beberapa sesi latihan yang dijalankan dalam masa terdekat ini.

Sabtu, Ogos 14, 2010

Undian Piala Emas Raja-Raja 2010


KUMPULAN A
Perlis

Pahang
Negeri Sembilan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

KUMPULAN B
Kelantan

Johor
Angkatan Tentera Malaysia
Pulau Pinang

KUMPULAN C
Perak
Kedah
Selangor
Melaka

KUMPULAN D

Terengganu
Singapura
Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia
Polis DiRaja Malaysia

*Semua perlawanan peringkat awal (peringkat kumpulan) akan berlangsung pada 5, 6 dan 7 November 2010

Rabu, Ogos 04, 2010

Kem Khas Pemilihan Pasukan Melayu Kedah 2010


35 orang pelatih yang telah dipilih daripada dua sesi pemilihan pada 24 dan 31 Julai lalu akan dihimpunkan pada satu kem khas pemilihan pasukan Melayu Kedah yang akan diadakan sebagaimana ketetapan berikut:


TARIKH: Jumaat, 6 Julai hingga Ahad, 8 Julai 2010
TEMPAT: Padang Kompleks Sukan Muadzam Shah (Hijau Kuning), Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar

Turut sama akan menyertai kem khas ini ialah pemain-pemain yang pernah mewakili negeri Kedah dalam kejohanan-kejohanan seperti Piala Emas Raja-Raja 2009, Piala Presiden, SUKMA, Liga Bolasepak IPT dan Piala YAB Menteri Besar Kedah.

Tujuan utama kem ini diadakan adalah untuk menyenaraikan 20 pemain terbaik bersama-sama dengan lima orang kuota daripada pasukan Liga Super dan Liga Perdana untuk didaftarkan ke dalam skuad Melayu Kedah bagi menghadapi saingan Piala Emas Raja-Raja 2010.

Senarai 2o pemain akan diumumkan pada penghujung sesi kem yang djangka akan berakhir pada petang Ahad, 8 Julai.

Isnin, Ogos 02, 2010

6 Hingga 8 Ogos Bakal Tentukan Pemain Skuad Melayu Kedah


Tarikh 6 hingga 8 Ogos depan bakal menjadi medan terakhir buat barisan kejurulatihan pasukan Melayu Kedah untuk membentuk sebuah pasukan Melayu Kedah yang mantap bagi menghadapi saingan Piala Emas Raja-Raja November depan.

Seramai 35 orang pelatih yang telah dipilih melalui dua fasa pemilihan akan digabungkan bersama-sama dengan pemain-pemain berpengalaman lain pada satu sesi kem khas yang dijalankan secara latihan pusat sebagai saringan terakhir. Antaranya termasuklah daripada skuad Melayu Kedah 2009, SUKMA Kedah, Piala Presiden, Liga Bolasepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Piala YAB Menteri Besar Kedah.

Tempoh selama tiga hari akan diguna dengan sebaik mungkin oleh barisan kejurulatihan dengan diketuai oleh Mohamad Ramlee serta dibantu oleh dua orang bekas pemain pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang pernah beraksi di dalam Piala FAM era 90-an iaitu Isshamwil Azmi dan Zulkifli Mahmud untuk mengenalpasti sekurang-kurangnya 20 orang pemain terbaik untuk membawa nama negeri Kedah.

Fasa pemilihan terakhir selama tiga hari tersebut akan berlangsung di padang Kompleks Sukan Muadzam Shah atau lebih dikenali sebagai Kompleks Hijau Kuning, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Ahad, Ogos 01, 2010

Sinar Harian: Pemilihan Piala Emas Raja-Raja Dapat Sambutan

Pemilihan Piala Emas Raja-Raja dapat sambutan

ALOR SETAR - Sesi pemilihan Zon Utara bagi pemilihan pemain Piala Emas Raja-raja yang berlangsung di Stadium Suka Menanti berjaya memilih 18 pemain daripada 55 pemain yang berbakat dalam sukan bola sepak.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah, Firdaus Jaafar berkata, pemain yang terpilih akan digabungkan bersama pemain yang dipilih pada pemilihan peringkat Zon Selatan yang diadakan pada 24 Julai yang lalu.

Menurutnya, sesi pemilihan akan dijalankan pada 8 Ogos ini di Kompleks Hijau Kuning bagi memilih pemain yang layak untuk menyertai skuad Kedah.

“Sambutan yang diterima oleh Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah kali ini sangat menggalakkan dan kita berharap supaya penyokong bola sepak dapat memberikan sokongan sewaktu perlawanan berlangsung nanti.

“Kita juga yakin menerusi pemilihan yang dijalankan, ia dapat mencungkil bakat baru dalam arena bola sepak di negeri ini,” katanya.

Firdaus berkata, sesi pemilihan yang berlangsung bermula jam 9 pagi itu menunjukkan minat terhadap bola sepak dalam kalangan remaja di negeri ini sentiasa meningkat.

Beliau berkata, diharapkan tahun ini skuad Kedah mampu menjadi pasukan terbaik dan mampu meraih gelaran juara tahun ini.

Sabtu, Julai 31, 2010

18 Pelatih Dipilih Dari Zon Utara


Seramai 18 orang pemain daripada sesi pemilihan zon Kedah utara telah berjaya diserapkan sebagai pelatih pasukan Melayu Kedah sebagai persiapan menjelang kejohanan bola sepak Piala Emas Raja-Raja bagi tahun 2010 ini.

Sesi pemilihan yang bermula pada jam 9 pagi dan berakhir empat jam berikutnya telah menghimpunkan seramai 55 orang pemain bola sepak di Padang Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah, Jalan Suka Menanti.

Tujuan sesi pemilihan ini diadakan bagi membentuk pasukan negeri ke kejohanan Piala Emas Raja-Raja yang dijangka berlangsung pada November depan selepas berakhirnya saingan Piala Malaysia yang juga merupakan penutup tirai Liga Malaysia.

Sabtu lalu, seramai 17 orang pelatih dari daerah-daerah di utara Kedah berjaya dikenalpasti untuk menjalani sesi pemilihan fasa akhir sebelum sekurang-kurangnya 20 orang pemain dipilih mewakili pasukan Melayu Kedah.

Ahad, Julai 25, 2010

Sesi Pemilihan Pemain Pasukan Melayu Kedah 2010 (Zon Kedah Utara)


Sesi pemilihan pemain pasukan Melayu Kedah ke kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2010 bagi Zon Kedah Utara akan diadakan sebagaimana ketetapan di bawah:


TARIKH: Sabtu, 31 Julai 2010
MASA: 8 pagi
TEMPAT: Padang Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah, Jalan Suka Menanti, Alor Setar

Bakat-bakat bola sepak dari daerah berdekatan seperti Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap dan Pendang dijemput hadir.

Sesi Pemilihan Pemain Zon Selatan Dapat Sambutan

Seramai 47 orang pemain telah menghadirkan diri pada sesi pemilihan pemain pasukan Melayu Kedah bagi zon Kedah Selatan yang telah diadakan semalam bertempat di padang Hicom-Honda, Sungai Petani.

Tujuan sesi pemilihan ini diadakan bagi membentuk pasukan negeri ke kejohanan Piala Emas Raja-Raja yang dijangka berlangsung pada November depan selepas berakhirnya saingan Liga Malaysia.

Bagi zon Kedah selatan ini, seramai 17 orang pemain terbaik telah disenarai pendekkan untuk disaring pada satu sesi berasingan bersama-sama dengan pemain yang akan menjalani sesi pemilihan di peringkat zon Kedah utara Sabtu depan.

Ahad, Julai 18, 2010

Sesi Pemilihan Pemain Pasukan Melayu Kedah 2010 (Zon Kedah Selatan)


Sesi pemilihan pemain pasukan Melayu Kedah ke kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2010 bagi Zon Kedah Selatan akan diadakan sebagaimana ketetapan di bawah:


TARIKH: Sabtu, 24 Julai 2010
MASA: 8 pagi
TEMPAT: Padang Hicom-Honda, Sungai Petani

Bakat-bakat bola sepak dari daerah berdekatan seperti Kuala Muda, Baling, Sik, Kulim, Bandar Baharu dan Yan dijemput hadir.

Isnin, Julai 12, 2010

Profil Ketua Jurulatih Melayu Kedah - Mohamad Ramlee

NAMA PENUH: Mohamad bin Ramlee
TARIKH LAHIR: 31 Oktober 1965
ASAL: Changloon, Kedah
KERJAYA: Jurulatih bola sepak

KARIER PEMAIN BOLA SEPAK: 1982-1994
POSISI: Pertahanan
KARIER SENIOR: Kedah (1982-1994)
KEJAYAAN:
* Juara Piala Malaysia 1990, 1993
* Naib Juara Piala Malaysia 1987, 1988, 1989, 1992
* Juara Piala Sumbangsih 1991
* Juara Liga Divisyen 1 1993
* Juara Liga Divisyen 2 1992

KARIER ANTARABANGSA: Malaysia (1987-1990)
KEJAYAAN:
* Pingat Emas Sukan SEA 1989
LAIN-LAIN KEJOHANAN:
* Pestabola Merdeka 1987, 1988
* Piala Raja Thai 1988, 1989
* Piala Presiden Korea 1987

KARIER JURULATIH: 2000-sekarang
PASUKAN:
* SUKMA Kedah: 2000, 2002, 2004, 2006, 2008
* Piala Presiden Kedah: 2000-2009
* Piala Emas Raja-Raja Kedah: 2009-sekarang
KEJAYAAN:
* Juara Piala Presiden 2004
* Pingat perak SUKMA 2006
* Pingat gangsa SUKMA 2008, 2010
* Naib juara Piala Emas Raja-Raja 2009

Sabtu, Julai 10, 2010

Mohamad Ramlee Kekal Jurulatih Melayu Kedah 2010

Sebagai persiapan awal untuk menghadapi kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2010, pada Mesyuarat Majlis PBMK Kali ke-3 Sesi 2009/2011 yang bersidang pada 2 Julai lalu, ahli-ahli Majlis PBMK telah sebulat suara untuk terus mengekalkan khidmat Mohamad Ramlee sebagai pengendali skuad Melayu Kedah

Pelantikan tersebut dibuat setelah Mohamad yang juga bekas pemain bola sepak Hijau Kuning sekitar 80 dan 90-an berjaya membawa pasukan Melayu Kedah ke pentas final Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009.