Khamis, Disember 03, 2009

Sinar Harian: Kedah sedia hadapi Kelantan Sabtu ini

Alor Setar - Penyokong Kedah diminta penuhi Stadium Darul Aman pada malam Sabtu (5 Disember) ini bagi memberi sokongan semangat kepada pasukan hijau kuning yang menerima kunjungan pasukan Kelantan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Emas Raja-Raja.

Bendahari Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah, Zulkifli Ismail berkata, sokongan itu mampu bagi menyemarakkan semangat pemain Kedah untuk beraksi dengan lebih baik.

Menurutnya, kehadiran penyokong Kedah itu mampu melonjakkan semangat pemain yang berazam untuk mengembalikan keyakinan penyokong negeri ini terhadap mereka selepas kecewa dengan persembahan semasa Liga Super.

Menurutnya, pasukan Piala Emas Raja-raja Kedah berazam untuk membawa pulang piala tersebut untuk penyokong-penyokong mereka bagi mengembalikan sokongan mereka terhadap pasukan hijau kuning.

“Kami mengharapkan kedatangan semua penyokong hijau kuning untuk membanjiri Stadium Darul Aman bagi memberi sokongan padu kepada barisan pemain kita bagi menghadapi Kelantan pada malam Sabtu ini, pasti menjanjikan satu perlawanan yang sangat sengit,” katanya kepada Sinar Harian.

Barisan pemain Piala Emas Raja-raja Kedah akan diperkuatkan oleh lima pemain dari Liga Super iaitu Mumahad al-Hafiz Hamzah, Mohd Fazliata Taib, Mohd Faizal Abu Bakar, Muhamad Shafiq Jamal dan Chun Keng Hong.

Zulkifli berkata, pasukan di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi Kelantan selepas mereka seri dengan pasukan itu pada pertemuan suku akhir pertama pada 30 November lalu.

“Kami percaya Ketua jurulatih, Mohamad Ramlee sudah memberi yang terbaik di dalam merencanakan pasukan ini dan sekarang menjadi tanggungjawab penyokong untuk hadir menyemarakkan semangat pemain-pemain kedah,” katanya.

Menurutnya, tiket perlawanan boleh didapati seawal jam 5 petang pada Sabtu dan bayaran untuk tiket astaka utama ialah RM10 dan terbuka ialah RM5.

Tiada ulasan: