Isnin, Ogos 02, 2010

6 Hingga 8 Ogos Bakal Tentukan Pemain Skuad Melayu Kedah


Tarikh 6 hingga 8 Ogos depan bakal menjadi medan terakhir buat barisan kejurulatihan pasukan Melayu Kedah untuk membentuk sebuah pasukan Melayu Kedah yang mantap bagi menghadapi saingan Piala Emas Raja-Raja November depan.

Seramai 35 orang pelatih yang telah dipilih melalui dua fasa pemilihan akan digabungkan bersama-sama dengan pemain-pemain berpengalaman lain pada satu sesi kem khas yang dijalankan secara latihan pusat sebagai saringan terakhir. Antaranya termasuklah daripada skuad Melayu Kedah 2009, SUKMA Kedah, Piala Presiden, Liga Bolasepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Piala YAB Menteri Besar Kedah.

Tempoh selama tiga hari akan diguna dengan sebaik mungkin oleh barisan kejurulatihan dengan diketuai oleh Mohamad Ramlee serta dibantu oleh dua orang bekas pemain pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang pernah beraksi di dalam Piala FAM era 90-an iaitu Isshamwil Azmi dan Zulkifli Mahmud untuk mengenalpasti sekurang-kurangnya 20 orang pemain terbaik untuk membawa nama negeri Kedah.

Fasa pemilihan terakhir selama tiga hari tersebut akan berlangsung di padang Kompleks Sukan Muadzam Shah atau lebih dikenali sebagai Kompleks Hijau Kuning, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Tiada ulasan: