Ahad, Ogos 01, 2010

Sinar Harian: Pemilihan Piala Emas Raja-Raja Dapat Sambutan

Pemilihan Piala Emas Raja-Raja dapat sambutan

ALOR SETAR - Sesi pemilihan Zon Utara bagi pemilihan pemain Piala Emas Raja-raja yang berlangsung di Stadium Suka Menanti berjaya memilih 18 pemain daripada 55 pemain yang berbakat dalam sukan bola sepak.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah, Firdaus Jaafar berkata, pemain yang terpilih akan digabungkan bersama pemain yang dipilih pada pemilihan peringkat Zon Selatan yang diadakan pada 24 Julai yang lalu.

Menurutnya, sesi pemilihan akan dijalankan pada 8 Ogos ini di Kompleks Hijau Kuning bagi memilih pemain yang layak untuk menyertai skuad Kedah.

“Sambutan yang diterima oleh Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah kali ini sangat menggalakkan dan kita berharap supaya penyokong bola sepak dapat memberikan sokongan sewaktu perlawanan berlangsung nanti.

“Kita juga yakin menerusi pemilihan yang dijalankan, ia dapat mencungkil bakat baru dalam arena bola sepak di negeri ini,” katanya.

Firdaus berkata, sesi pemilihan yang berlangsung bermula jam 9 pagi itu menunjukkan minat terhadap bola sepak dalam kalangan remaja di negeri ini sentiasa meningkat.

Beliau berkata, diharapkan tahun ini skuad Kedah mampu menjadi pasukan terbaik dan mampu meraih gelaran juara tahun ini.

Tiada ulasan: