Ahad, September 26, 2010

FusionExcel International Taja RM32,000 kepada Pasukan Melayu Kedah


Pasukan Melayu Kedah yang meletakkan matlamat untuk berada di pentas final kejohanan bola sepak Piala Emas Raja-Raja buat kali kedua berturut-turut mendapat suntikan semangat apabila FusionExcel International Sdn. Bhd. bersetuju untuk memberikan penajaan produk.

Melalui usaha Kumpulan ‘Energy for All’ (EFA Group of ASEAN) yang bergerak aktif di sekitar kawasan utara, FusionExcel menjadi antara penyumbang terawal kepada Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK) dengan komitmen bernilai RM32,000 berupa produk kesihatan dan tenaga seperti loket dan termos kuantum sehingga berakhirnya saingan Piala Emas Raja-Raja penghujung Disember ini.

Majlis penyerahan penajaan telah berlangsung Jumaat lalu di Hotel Seri Malaysia Alor Setar dengan pasukan Melayu Kedah diwakili Presiden PBMK, Dato' Hj. Mahfuz Omar sementara dua orang Pengarah Presiden FusionExcel International, Dr. Mohd Fadil Samion dan Mohd Pidzeni Md Amin mewakili syarikat berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli majlis PBMK, Mohd Firdaus Jaafar, Syed Ahmad Syukri Syed Abdullah, Badrul Hisham Mohd Ridhwan, Pengarah Eksekutif FusionExcel International, Mohd Naain Said dan Pengarah FusionExcel International, Muhamad Sahabudin Senawi.

Dato’ Mahfuz dalam ucapannya melahirkan harapan agar sumbangan besar daripada FusionExcel ini dapat menjadi pembakar semangat seterusnya melonjakkan prestasi pemain-pemain pasukan Melayu Kedah ke tahap yang paling optimum bagi menghadapi kejohanan Piala Emas Raja-Raja yang akan bermula 5 November depan.

Menurut beliau lagi, PBMK juga amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh FusionExcel sebagai syarikat korporat, bukan sahaja untuk mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat tetapi juga sebagai salah satu cabang pembangunan sukan di Malaysia.

Sementara itu, Mohd Pidzeni menyifatkan penyertaan mereka bersama PBMK sebagai satu penghormatan setelah melihat potensi yang ada pada pasukan Melayu Kedah selain untuk mendekati ahli-ahli sukan di negeri ini agar bakat yang ada pada mereka dapat dikembangkan untuk mencapai kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.

Tiada ulasan: