Khamis, November 12, 2009

Harian Metro: Piala Emas Raja-Raja buka tirai

Oleh Ismail Muhamad

JUARA Piala Emas Raja-Raja 2008, Kelantan berentap dengan Johor dalam perlawanan akhir Piala Agong 2009 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, esok jam 8.45 malam.

Aksi final itu menguji kekuatan skuad Piala Emas Kelantan berdepan Johor selaku juara Piala Agong musim 2008 sebagai pembuka tirai merebut kejuaraan anjuran Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM).

Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata final Piala Agong antara Kelantan dan Johor diharap dapat menarik kunjungan ramai peminat bola sepak tempatan.

Katanya, dengan final Piala Agong sebagai pembuka tirai, sebanyak 16 pasukan termasuk Kelantan meneruskan cabaran mereka dalam kejohanan Piala Emas Raja-Raja musim 2009.

“Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2009 dibahagikan kepada empat kumpulan dengan Zon Tengah, Selatan, Utara dan Timur bermula pada 20 November dan berakhir 26 Disember ini.

“Dengan tamatnya Liga Malaysia musim ini, tumpuan peminat boleh beralih menyaksikan final Piala Agong selain permulaan bagi kejohanan Piala Emas Raja-Raja musim 2009,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Takiyuddin berkata, Kumpulan A (Zon Tengah) menyaksikan Selangor selaku tuan rumah pusingan awal selain Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (Masum).

Menurutnya, Kumpulan B (Zon Selatan) meletakkan Johor selaku tuan rumah, Negeri Sembilan, Singapura dan Melaka, manakala Kumpulan C (Zon Utara) membabitkan Pulau Pinang sebagai tuan rumah, Kedah, Perlis dan Perak.

Katanya, Kumpulan D (Zon Timur) pula meletakkan Terengganu sebagai pasukan tuan rumah selain Kelantan, Pahang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pusingan awal Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2009 bermula dari 20 hingga 22 November, suku akhir (30 November dan 5 Disember), separuh akhir (12 dan 19 Disember) dan perlawanan akhir ditetapkan pada 26 Disember ini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Arena/20091112091855/Article/index_html

Tiada ulasan: