Ahad, Disember 13, 2009

Puncak PERR: Kedah bawa pulang kelebihan dari Kota Singa


Singapura 1 Nazri Nasir 51'
Kedah 1 Mohammad Faizal Abu Bakar 70'

Misi Kedah untuk membawa pulang kelebihan dari Kota Singa tercapai setelah berjaya mengikat Singapura dengan keputusan 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Puncak Piala Emas Raja-Raja yang berlangsung di Stadium Jalan Besar semalam.

Kebimbangan awal yang disuarakan ketua jurulatih, Mohamad Ramlee dengan rentak permainan yang bakal dipersembahkan oleh anak buahnya di atas padang rumput tiruan nyata meleset sama sekali apabila Kedah berjaya mengawal keseluruhan 90 minit permainan.

Peluang pertama Kedah hadir seawal minit ketiga menerusi Tan Yang Wei yang menerima hantaran Mohd Faizal Abu Bakar namun gagal membuat penyudah selepas hanya berdepan dengan penjaga gol Singapura Roswadi Kamis.

Muhd Al-Hafiz Hamzah yang menjaga gawang Kedah turut berjaya menafikan beberapa percubaan dan peluang Singapura untuk menjaringkan gol. Separuh masa pertama tamat tanpa sebarang gol dijaringkan oleh kedua-dua pasukan.

Singapura yang diperkuatkan dengan pemain Liga Singapura, Azhar Baksin berjaya memecah kebuntuan melalui sentuhan ketua pasukannya yang juga bekas pemain kebangsaan republik itu, Nazri Nasir pada minit ke-51 berpunca dari satu sepakan sudut.

Kedah bangkit mengatur rentak permainan dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu pasukan lawan walaubagaimanapun dikecewakan dengan penyudah yang agak lemah.

Sehinggalah minit ke-70, penjaring terbanyak pasukan Kedah bagi kempen Piala Emas Raja-Raja kali ini Mohd Faizal Abu Bakar berjaya merembat kencang bola dari dalam kawasan gol Singapura melepasi jangkauan Roswadi.

Faizal sekali lagi berpeluang untuk menjaringkan gol kedua pasukan Kedah pada minit-minit akhir perlawanan namun rembatannya dari sebelah kiri gol Singapura hanya menyinggahi palang.

Dengan keputusan tersebut Kedah dilihat mempunyai peluang yang agak cerah untuk layak ke perlawanan akhir apabila melayan kunjungan Singapura bagi perlawanan separuh akhir kedua 19 Disember ini di Stadium Darulaman.

Sementara itu bagi satu lagi pertembungan separuh akhir antara utara dan selatan menyaksikan Perlis yang bertandang ke Johor Bahru berjaya mengikat pasukan tuan rumah tanpa sebarang jaringan.

SINGAPURA: Roswadi Kamis, Noor Ikhsan Razali, Nazri Nasir, Taufiq Rahmat (Nurhilmi Jasni), Khairul Solyhin, Ali Imran Lomri, Selamat Jalit (Nahar Daud), Ratna Suffian Ishak, Muhammad Yazid Mohamed Yazam, Muhammad Izzuddin, Azhar Baksin

KEDAH: Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Mohd Fazliata Taib, Mohammad Nizat Salleh, Muammar Nur Halim Rahim, Md Nor Safwan Md Zain, Mohd Zulfaizham Kamis, Amirul Nizam Mahadzir, Tan Yang Wei (Mohd Imran Azhar), Rohazren Mat Ali (Wan Mohd Asraf Wan Ali), Mohammad Faizal Abu Bakar, Mohd Naim Yusoff (Muhammad Alif Aswat Baharin)

Tiada ulasan: