Selasa, Disember 15, 2009

Harian Metro: Kedah sasar ke final

Oleh Shukri Matt Ali
sukan@hmetro.com.my

SELEPAS beraksi cemerlang dengan mengikat tuan rumah, Singapura, 1-1 malam kelmarin, Kedah tidak akan berdiam diri sebaliknya mahu mencipta sejarah dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darulaman, Alor Setar, Sabtu ini.

Dikendalikan bekas pemain kebangsaan era 80-an dan awal 90-an, Mohamad Ramlee, skuad Hijau Kuning memerlukan kemenangan dalam perlawanan penentuan itu bagi melangkah ke final dan memadamkan prestasi hambar yang dialami dalam saingan Liga Malaysia musim lalu.

“Kami tiada pilihan melainkan mencipta kejayaan untuk mengotakan matlamat asal pembentukan pasukan yang mahu bersaing hingga ke final,” kata pengurus pasukan, Firdaus Jaafar, yang juga Ahli Parlimen Jerai ketika ditemui di Gurun, Kedah, semalam sebaik pulang dari Singapura.

Katanya, pemainnya pasti berdepan saingan sengit kerana pelawat yang turut disertai tiga pemain kebangsaan republik itu tentu tidak mahu dikecewakan lagi di gelanggang lawan.

Menurutnya, pemain Kedah berada di tahap terbaik pada masa ini dan berharap sorakan penonton tempatan dan peminat setia yang bakal membanjiri Stadium Darulaman akan menyuntik kemenangan bermakna.

Dalam pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar, kelmarin, Kedah berjaya mengikat Singapura menerusi gol Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-70 selepas tuan rumah mendahului pada minit ke-51 menerusi ketua pasukan, Nazri Nasir.

Berdasarkan prestasi pemainnya, Firdaus yakin Mohamed yang dibantu penolong jurulatih, Idris Man dan Hussin Jaafar, yakin skuadnya mempunyai peluang untuk mempamerkan persembahan menarik.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Arena/20091215075536/Article/index_html

Tiada ulasan: