Isnin, Disember 21, 2009

Harian Metro: Misi Kedah tercapai


Oleh Bashah Zainol Abidin

am@hmetro.com.my


KETUA jurulatih Kedah, Mohamed Ramlee teruja dengan kejayaan pasukannya mengatasi Singapura 2-1 di Stadium Darulaman kelmarin pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Emas Raja-Raja sekali gus layak ke final menerusi agregat 3-2.

Menurutnya, kehadiran 15,000 peminat setia Kedah di Stadium Darulaman membakar semangat pemainnya untuk mengatasi lawan.

"Saya bersyukur kerana kami berjaya mencapai matlamat beraksi pada perlawanan akhir yang ditentukan gelanggangnya esok (hari ini) oleh Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM).

"Saya berdoa agar kami dapat mengulangi kejayaan muncul juara pada musim 2005 apabila bertemu Perlis kelak.

"Anak buah saya tidak akan berehat bagi memastikan Piala Emas Raja-Raja jadi milik kami Isnin ini sekali gus melegakan ribuan peminat Kedah yang hampa selepas pasukan Liga Super kehilangan tiga kejuaraan yang disandang sejak dua musim lalu," katanya.

Menurutnya, dia juga yakin setiap ruang tempat duduk Stadium Darulaman dipenuhi jika final diadakan di sana sekali gus pasti memberi kelebihan kepada pasukan bimbingannya.

"Saya tabik dengan kesungguhan serta semangat tinggi pemain dan kelebihan kami sudah pasti kelincahan penyerang muda Mohd Faizal Abu Bakar yang menjaringkan enam gol sehingga semalam (kelmarin).

"Saya yakin dia mampu mengulanginya pada final untuk kami mengakhiri 2009 dengan kejayaan menjulang Piala Emas Raja-Raja," kata Mohamed.

Tiada ulasan: