Selasa, Disember 29, 2009

Malaysia: Perlis juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009



Pemain-pemain Perlis meraikan kejayaan menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2009 selepas menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi. - Utusan / kamal Basir

ALOR SETAR - Dendam 13 tahun Perlis berbalas malam tadi apabila mencipta kemenangan 2-0 ke atas Kedah untuk menjuarai perlawanan Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 dalam saingan akhir mendebarkan yang turut dicemari rusuhan penonton di Stadium Darulaman, di sini.

Insiden tersebut berlaku pada lima minit terakhir permainan apabila sebilangan penonton memasuki padang untuk memaksa pengadil Mohd. Nazer Mohd. Said dari Selangor memberhentikan perlawanan pada lima minit terakhir saingan.

Ini turut mengundang aksi tegang di tengah gelanggang yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan Mohd. Nazer kepada dua pemain Perlis, Romdhizat Jamian dan Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman dan seorang pemain Kedah, Mohd. Fazliyata Taib.

Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas campur tangan pasukan Polis Simpanan Persekutuan untuk perlawanan disambung kembali.

Sebelum itu, Perlis yang ditewaskan Kedah dalam perlawanan akhir pada 1996 itu beraksi cemerlang walaupun bermain di gelanggang lawan dengan menghasilkan jaringan menerusi Romdhizat pada minit keempat dan Andrien Jurad Chamrong pada minit ke-18.

Kemenangan anak-anak buah jurulatih Kamal Idris Ali itu mencatat kejuaraan kali ketiga selepas melakukannya pada 1967 dan 1993. Pada 1967 Perlis menewaskan Singapura 3-0 manakala pada 1993 pasukan berkenaan mengalahkan Pulau Pinang 1-0.

Sementara Kedah, selain mencatat kejuaraan 1996, sebelum itu menjuarai pertandingan sama pada 1948 dan 1949, 1952 dan 1953 serta 2005.

Kemenangan semalam menyaksikan Perlis selain merangkul piala pusingan, membawa pulang hadiah RM30,000 manakala Kedah memperoleh RM15,000.

Lebih menggembirakan, Andrien Jurad turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009.

Di Stadium Darulaman semalam, perlawanan boleh diibaratkan sebagai bermulanya era baru bola sepak Melayu berdasarkan kepadatan 30,000 penonton yang memenuhi segenap penjuru stadium.

Ia turut disaksikan Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Malik Mu'adzam Shah; Puteri Sultan Kedah, Tunku Datuk Seri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sebaik perlawanan edisi ke-69 itu bermula, Kedah yang disokong ribuan penonton di gelanggang sendiri memulakan asakan bertali arus ke kubu Perlis tetapi kegagalan mencari penyudah menyaksikan skuad hijau kuning kempunan gol awal.

Sebaliknya, serangan balas yang diatur pantas skuad Perlis menghasilkan jaringan apabila Romdhizat menyepak kencang mengatasi penjaga gol Kedah, Mohd. Khairul Azuan untuk mendahului 1-0 pada minit keempat.

Ternyata jaringan pendahuluan itu menyemarakkan semangat Perlis untuk meneruskan asakan sehingga membuatkan pertahanan hijau kuning yang diperkuatkan pemain skuad Liga Super Kedah, Mohd. Fazliata semakin cemas.

Akhirnya Perlis menambah jaringan menerusi sepakan percuma Andrien Jurad dari jarak 25 meter menerjah penjuru gawang pada minit ke-18 dan kedudukan kekal sehingga berakhir separuh masa pertama.

Menyedari ketinggalan, Kedah cuba bangkit mencari jaringan penyamaan menerusi asakan bertali arus ke kubu Perlis tetapi ternyata sekali lagi kegopohan melakukan hantaran di kalangan pemain tuan rumah menyelamatkan pasukan pelawat.

Tiada ulasan: