Ahad, Disember 20, 2009

Puncak PERR 2009: 'Sepet' bawa Kedah ke final


Kedah 2 Mohammad Faizal Abu Bakar 28', 82'
Singapura 1 Dalis Supait 41' (pen)
(Kedah layak ke final dengan aggregat 3-2)

Penyerang utama yang juga merupakan penggempur pasukan skuad Liga Super Kedah, Mohammad Faizal Abu Bakar muncul wira setelah dua jaringannya berjaya membawa Kedah melangkah ke final Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-69 dengan keputusan aggregat 3-2 menewaskan Singapura.

Sabtu lalu Kedah dan Singapura terikat 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Jalan Besar.

Faizal atau lebih dikenali dengan nama timangan 'Sepet' di kalangan pemain dan peminat bola sepak pasukan Kedah berjaya menggamatkan Stadium Darulaman pada minit ke-28 hasil percubaan dari sebelah kiri bekas pemain UPB/MyTeam Mohd Kamal Azira Abd Manah yang gagal ditangkap kemas Riduan Barudin dan Faizal terus merembat masuk bola yang melantun di hadapannya menerjah jaring gol Singapura.

FAIZAL lebih dikenali sebagai 'Sepet'. - Foto Jeebsion

Singapura yang diperkuatkan dengan bekas bintang bola sepak kebangsaannya Mohd Rafi Ali, 36 dan Nazri Nasir, 38 yang pernah baraksi di dalam Liga Malaysia sekitar awal tahun 90-an kembali mengikat kedudukan 1-1 setelah Dalis Supait berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-41.

Bermula babak kedua, Mohamad Ramlee kembali merencanakan strategi baru buat anak-anak buahnya yang berjaya melancarkan serangan dan mengasak ke kubu lawan. Namun, beberapa penyudah yang agak lemah dan tersasar menghampakan 15,000 penyokong yang hadir.

Dengan asakan bertali arus daripada pasukan Kedah, pemain Singapura akhirnya terpaksa akur dengan sentuhan penyudah Faizal pada minit ke-82. Bermula daripada gerakan solo kapten pasukan Mohd Fazliata Taib dari kawasan Kedah kemudiannya melebarkan bola kepada Muhd Alif Aswat Baharin di sebelah kanan padang sebelum membuat hantaran dan singgah di kepala Faizal yang menanduk cantik ke dalam gawang Singapura.

Dengan kemenangan ini, Kedah akan bertemu pasukan jiran, Perlis di pentas final pada 28 Disember ini di mana tarikh awal dijadualkan pada 26 Disember.

Pada perlawanan terdahulu, Perlis menewaskan Johor 3-0 di Kangar.


KEDAH: Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Mohd Fazliata Taib, Mohammad Nizat Salleh, Md Nor Safwan Md Zain, Mohd Zulfaizham Kamis, Mohd Arfan Rashid, Amirul Nizam Mahadzir (Tan Yang Wei), Wan Mohd Asraf Wan Ali, Mohammad Faizal Abu Bakar, Mohd Naim Yusoff (Muhammad Alif Aswat Baharin)

SINGAPURA: Riduan Barudin, Taufiq Rahmat, Nazri Nasir, Khairul Solyhin, Dalis Supait, Ratna Suffian Ishak, Selamat Jalit, Mohd Rafi Ali, Muhammad Yazid Mohamed Yazam, Nahar Daud, Azhar Baksin

Tiada ulasan: