Selasa, Disember 29, 2009

Final Puncak PERR: Final 2009 catat sejarah

Kehadiran penonton melebihi angka 30,000 dan 'amukan' penyokong Kedah antara sejarah yang mewarnai dan terpahat pada kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-69 melibatkan pertembungan Kedah menentang Perlis yang berakhir semalam, 28 Disember.

Tanpa diduga, kejohanan PERR yang selama ini dipandang sepi oleh peminat-peminat bola sepak Malaysia akhirnya telah berjaya membuka mata banyak pihak terutama sekali organisasi-organisasi sukan yang bertanggunggjawab membangunkan sukan ini.

Tiga faktor dilihat sebagai punca 'ledakan' sambutan para penonton pada final kali ini antara dua pasukan berjiran dari utara tanahair kali ini adalah kerana bantuan dari segi penajaan, peranan pihak media di dalam mempromosikan kejohanan PERR dan pentas akhir yang dibawakan aksinya di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah.

Pertamanya ialah kejohanan kali ini yang mendapat suntikan kewangan sebanyak RM200,000 daripada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. selaku penaja utama melalui Tan Sri Rozali Ismail yang mana sedikit sebanyak telah membantu Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) untuk menganjurkan PERR kali ini dengan lebih efektif.

Kedua, tidak dapat dinafikan publisiti meluas yang dimainkan oleh pihak media tidak kira di dada-dada akhbar di ruangan sukan, corong-corong radio terutama sekali melalui siaran Kedah fm dan di kaca-kaca televisyen telah dimanipulasikan sebaiknya oleh puluhan ribu peminat bola sepak Kedah untuk membanjiri gelanggang keramat pasukan Hijau Kuning.

Dan 'kegilaan' kepada bola sepak di kalangan rakyat negeri Kedah sendiri menjadi faktor ketiga mengapa PERR 2009 kali ini menyusuri detik-detik kemeriahannya dan penuh warna-warni yang diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Muda Kedah Darul Aman yang turut sama menyaksikan perlawanan tersebut sekaligus mengangkat prestij Piala Emas Raja-Raja sendiri sebagai lambang kebanggaan bola sepak dan Raja-Raja Melayu.

Kebanjiran peminat-peminat bola sepak Kedah ke Stadium Darulaman pada final Puncak Piala Emas Raja-Raja Isnin lalu adalah di luar jangkaan. - Foto Jeebsion

Selain kejayaan menarik minat penonton bagi saingan yang selama ini dianggap sebagai kejohanan 'kelas ketiga' di belakang pertandingan Liga Malaysia, PERR 2009 juga dipalit dengan episod rusuhan oleh segelintir penyokong Kedah yang hadir untuk memberikan sokongan. Mereka mula memasuki padang setelah banyak keputusan pengadil perlawanan dikatakan agak kontroversi. Perkara yang berkaitan dengan pegawai yang mengendalikan perlawanan ini seharusnya dilihat dengan lebih serius dan mendalam setelah ia turut berlaku di dalam saingan Liga Malaysia tidak lama dulu apabila penonton masuk ke dalam padang untuk membuat protes terhadap pengadil.

Tahniah buat pasukan Perlis yang telah merangkul kejuaraan kali ini dan syabas buat penyokong Kedah kerana berjaya mengangkat nama Piala Emas Raja-Raja!

Tiada ulasan: