Khamis, Disember 31, 2009

Kosmo!: 'Satu pengajaran berguna'


SEGELINTIR penyokong Kedah membaling objek ke arah anggota FRU kerana tidak berpuas hati selepas seorang penyokong ditahan ketika masuk ke kawasan padang pada final Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 di Stadium Darul Aman, Isnin lalu.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) menganggap insiden keganasan penyokong pada final Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Isnin lalu sebagai satu pengajaran berguna.

Menurut Takiyuddin, aspek keselamatan yang longgar ditambah sikap para penyokong itu sendiri menyumbang kepada berlakunya insiden yang dianggapnya tidak pernah berlaku dalam sejarah penganjuran kejohanan tersebut.

"Kawalan keselamatan yang longgar mungkin serba sedikit menjadi faktor tetapi sikap penonton yang tiada semangat kesukanan dengan menyerbu padang telah memburukkan lagi keadaan.

"Kita jadikan ini sebagai pengajaran untuk masa akan datang dengan tidak boleh mengambil ringan soal keselamatan semasa perlawanan dan perlu mendidik para penyokong.

"Tapi dalam masa sama, kita berasa gembira juga kerana penyokong memberikan sambutan hangat terhadap kejohanan ini, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya adakah pihak PBSMM sudah menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta penjelasan pihaknya, Takiyuddin berkata, setakat petang semalam, mereka masih belum menerimanya.

"Tetapi kami akan minta Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK) sebagai tuan rumah untuk menyediakan laporan dari segi persiapan dan keselamatan jika kami menerima surat daripada FAM itu. Kemudian kami akan balas semula penjelasan tersebut kepada pihak FAM," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin menganggap saingan Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-69 kali ini sebagai berjaya dengan faktor utamanya ialah suntikan penajaan daripada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd.

"Kami jangka saingan musim 2010 nanti akan lebih menarik dengan kami merancang membuat beberapa perubahan dan kejutan. Lagipun Puncak Niaga akan terus menjadi penaja kejohanan ini pada tahun depan," ujarnya.

Selasa, Disember 29, 2009

Final Puncak PERR: Final 2009 catat sejarah

Kehadiran penonton melebihi angka 30,000 dan 'amukan' penyokong Kedah antara sejarah yang mewarnai dan terpahat pada kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-69 melibatkan pertembungan Kedah menentang Perlis yang berakhir semalam, 28 Disember.

Tanpa diduga, kejohanan PERR yang selama ini dipandang sepi oleh peminat-peminat bola sepak Malaysia akhirnya telah berjaya membuka mata banyak pihak terutama sekali organisasi-organisasi sukan yang bertanggunggjawab membangunkan sukan ini.

Tiga faktor dilihat sebagai punca 'ledakan' sambutan para penonton pada final kali ini antara dua pasukan berjiran dari utara tanahair kali ini adalah kerana bantuan dari segi penajaan, peranan pihak media di dalam mempromosikan kejohanan PERR dan pentas akhir yang dibawakan aksinya di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah.

Pertamanya ialah kejohanan kali ini yang mendapat suntikan kewangan sebanyak RM200,000 daripada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. selaku penaja utama melalui Tan Sri Rozali Ismail yang mana sedikit sebanyak telah membantu Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) untuk menganjurkan PERR kali ini dengan lebih efektif.

Kedua, tidak dapat dinafikan publisiti meluas yang dimainkan oleh pihak media tidak kira di dada-dada akhbar di ruangan sukan, corong-corong radio terutama sekali melalui siaran Kedah fm dan di kaca-kaca televisyen telah dimanipulasikan sebaiknya oleh puluhan ribu peminat bola sepak Kedah untuk membanjiri gelanggang keramat pasukan Hijau Kuning.

Dan 'kegilaan' kepada bola sepak di kalangan rakyat negeri Kedah sendiri menjadi faktor ketiga mengapa PERR 2009 kali ini menyusuri detik-detik kemeriahannya dan penuh warna-warni yang diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Muda Kedah Darul Aman yang turut sama menyaksikan perlawanan tersebut sekaligus mengangkat prestij Piala Emas Raja-Raja sendiri sebagai lambang kebanggaan bola sepak dan Raja-Raja Melayu.

Kebanjiran peminat-peminat bola sepak Kedah ke Stadium Darulaman pada final Puncak Piala Emas Raja-Raja Isnin lalu adalah di luar jangkaan. - Foto Jeebsion

Selain kejayaan menarik minat penonton bagi saingan yang selama ini dianggap sebagai kejohanan 'kelas ketiga' di belakang pertandingan Liga Malaysia, PERR 2009 juga dipalit dengan episod rusuhan oleh segelintir penyokong Kedah yang hadir untuk memberikan sokongan. Mereka mula memasuki padang setelah banyak keputusan pengadil perlawanan dikatakan agak kontroversi. Perkara yang berkaitan dengan pegawai yang mengendalikan perlawanan ini seharusnya dilihat dengan lebih serius dan mendalam setelah ia turut berlaku di dalam saingan Liga Malaysia tidak lama dulu apabila penonton masuk ke dalam padang untuk membuat protes terhadap pengadil.

Tahniah buat pasukan Perlis yang telah merangkul kejuaraan kali ini dan syabas buat penyokong Kedah kerana berjaya mengangkat nama Piala Emas Raja-Raja!

Malaysia: Perlis juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009



Pemain-pemain Perlis meraikan kejayaan menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2009 selepas menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi. - Utusan / kamal Basir

ALOR SETAR - Dendam 13 tahun Perlis berbalas malam tadi apabila mencipta kemenangan 2-0 ke atas Kedah untuk menjuarai perlawanan Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 dalam saingan akhir mendebarkan yang turut dicemari rusuhan penonton di Stadium Darulaman, di sini.

Insiden tersebut berlaku pada lima minit terakhir permainan apabila sebilangan penonton memasuki padang untuk memaksa pengadil Mohd. Nazer Mohd. Said dari Selangor memberhentikan perlawanan pada lima minit terakhir saingan.

Ini turut mengundang aksi tegang di tengah gelanggang yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan Mohd. Nazer kepada dua pemain Perlis, Romdhizat Jamian dan Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman dan seorang pemain Kedah, Mohd. Fazliyata Taib.

Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas campur tangan pasukan Polis Simpanan Persekutuan untuk perlawanan disambung kembali.

Sebelum itu, Perlis yang ditewaskan Kedah dalam perlawanan akhir pada 1996 itu beraksi cemerlang walaupun bermain di gelanggang lawan dengan menghasilkan jaringan menerusi Romdhizat pada minit keempat dan Andrien Jurad Chamrong pada minit ke-18.

Kemenangan anak-anak buah jurulatih Kamal Idris Ali itu mencatat kejuaraan kali ketiga selepas melakukannya pada 1967 dan 1993. Pada 1967 Perlis menewaskan Singapura 3-0 manakala pada 1993 pasukan berkenaan mengalahkan Pulau Pinang 1-0.

Sementara Kedah, selain mencatat kejuaraan 1996, sebelum itu menjuarai pertandingan sama pada 1948 dan 1949, 1952 dan 1953 serta 2005.

Kemenangan semalam menyaksikan Perlis selain merangkul piala pusingan, membawa pulang hadiah RM30,000 manakala Kedah memperoleh RM15,000.

Lebih menggembirakan, Andrien Jurad turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009.

Di Stadium Darulaman semalam, perlawanan boleh diibaratkan sebagai bermulanya era baru bola sepak Melayu berdasarkan kepadatan 30,000 penonton yang memenuhi segenap penjuru stadium.

Ia turut disaksikan Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Malik Mu'adzam Shah; Puteri Sultan Kedah, Tunku Datuk Seri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sebaik perlawanan edisi ke-69 itu bermula, Kedah yang disokong ribuan penonton di gelanggang sendiri memulakan asakan bertali arus ke kubu Perlis tetapi kegagalan mencari penyudah menyaksikan skuad hijau kuning kempunan gol awal.

Sebaliknya, serangan balas yang diatur pantas skuad Perlis menghasilkan jaringan apabila Romdhizat menyepak kencang mengatasi penjaga gol Kedah, Mohd. Khairul Azuan untuk mendahului 1-0 pada minit keempat.

Ternyata jaringan pendahuluan itu menyemarakkan semangat Perlis untuk meneruskan asakan sehingga membuatkan pertahanan hijau kuning yang diperkuatkan pemain skuad Liga Super Kedah, Mohd. Fazliata semakin cemas.

Akhirnya Perlis menambah jaringan menerusi sepakan percuma Andrien Jurad dari jarak 25 meter menerjah penjuru gawang pada minit ke-18 dan kedudukan kekal sehingga berakhir separuh masa pertama.

Menyedari ketinggalan, Kedah cuba bangkit mencari jaringan penyamaan menerusi asakan bertali arus ke kubu Perlis tetapi ternyata sekali lagi kegopohan melakukan hantaran di kalangan pemain tuan rumah menyelamatkan pasukan pelawat.

Isnin, Disember 28, 2009

Berita Harian: Kedah azam tebus kehampaan

Oleh Bashah Zainol Abidin
bhsukan@bharian.com.my



KETUA jurulatih Kedah, Mohamed Ramlee (dua dari kiri) dan pengurus pasukan, Mohd Firdaus Jaafar (kiri) memberi taklimat kepada pemain Kedah, semalam


DETIK kecewa gagal mempertahankan tiga mahkota kejuaraan dalam Liga Malaysia, musim ini sekadar membuat pemain Kedah bertambah selera mahu menebus kehampaan itu apabila menentang pasukan tetangga, Perlis dalam final kejohanan bola sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darulaman, malam ini.

Pengurus pasukan, Mohd Firdaus Jaafar meluahkan pandangan bahawa ini adalah detik yang tepat untuk menjuarai kejohanan peringkat kebangsaan dan ketika sama hadiah sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah.

Tidak dinafikan peminat setia Kedah dahagakan kejayaan selepas pasukan Hijau Kuning gagal mempertahankan trofi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA yang dimenangi dua musim berturut-turut sebelum ini.

"Barisan pemain muda saya membuktikan kemampuan mereka dengan mengatasi cabaran juara bertahan Kelantan pada suku akhir dan mengetepikan cabaran Singapura pada peringkat separuh akhir dan kini saya yakin mereka mampu mengejutkan Perlis, esok (malam ini).

"Empat pemain pasukan dari skuad Liga Super, Mohd Al-Hafiz Hamzah, Shaffiq Jamal, Mohd Fazliata Taib dan Chun Keng Kong berjaya bergandingan baik bersama barisan pemain muda untuk melakar kejayaan bagi beraksi pada perlawanan akhir.

"Saya yakin Mohd Faizal Abu Bakar yang sudah berjaya menjaringkan enam gol sehingga perlawanan separuh akhir mampu meneruskan kecemerlangan pada perlawanan esok (malam ini) untuk kita dinobatkan sebagai juara musim 2009," kata Firdaus.

BERNAMA: Kedah yakin julang Piala Emas Raja-Raja

ALOR SETAR, 27 Dis (Bernama) -- Kelebihan beraksi di tempat sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kedah untuk merampas kembali trofi Piala Emas Raja-Raja apabila bertemu Perlis dalam perlawanan akhir di Stadium Darul Aman malam Isnin.

Ketua jurulatihnya, Mohammad Ramlee berkata kehadiran penyokong yang ramai merupakan antara faktor penting untuk menyemarakkan semangat pemain mempamerkan aksi terbaik mereka.

Memang tidak dinafikan bahawa bermain di tempat sendiri adalah satu kelebihan bagi kami, namun saya tetap menasihatkan pemain supaya berwaspada ketika beraksi," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Dari kiri: Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Amirul Nizam Mahadzir, Idris Man, Mohamad Ramlee, Husin Jaafar, Mohd Arfan Rashid dan Mohd Naim Yusoff

_______________________________________________

Mohammad berkata pasukan yang kurang melakukan kesilapan berpeluang cerah untuk menang kerana pentas akhir adalah sesuatu yang berbeza berbanding saingan peringkat kumpulan.

Kedah mara ke perlawanan akhir apabila mengatasi Singapura dengan agregat 3-2 manakala Perlis menyingkirkan Johor dengan agregat 3-0.

Kali terakhir Kedah menjulang piala tersebut ialah pada tahun 2005 apabila mengalahkan Kelantan 2-1.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dijangka berangkat menyaksikan perlawanan itu.

-- BERNAMA

Sabtu, Disember 26, 2009

Sinar Harian: Kedah mahu julang Piala Emas Raja-raja 2009

ALOR SETAR- Pemain pasukan Kedah kini sedang menyiapkan diri mereka untuk bertemu dengan pasukan Perlis pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-raja yang bakal berlangsung Isnin ini di Stadium Darul Aman.

Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee berkata, anak buahnya kini sedang menjalani latihan pada setiap petang bagi memastikan kesefahaman di antara pemain.

Menurutnya, latihan yang diadakan itu bukan sahaja mencari persefahaman antara pemain malah turut menumpukan pada bahagian tengah dan serangan dalam memantapkan permainan.

“Sewaktu bertemu Singapura tempoh hari kita lihat terdapat kelemahan, dan latihan kali ini kita lebih fokus pada dua bahagian itu.

“Selain itu kita masih mengekalkan lima pemain daripada Liga Super Kedah yang dapat membantu pemain lain beraksi pada malam kemuncak itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad berkata, pasukan Kedah yang pernah bertemu Perlis sewaktu pusingan awal tempoh hari menyaksikan pasukan itu bukanlah pasukan yang mudah untuk ditumbangkan dan oleh kerana itu beliau mahu memastikan anak buahnya sentiasa bersemangat sepanjang perlawanan.

“Apa yang diharapkan kini daripada pemain adalah komitmen penuh untuk berlatih dan berentap pada perlawanan itu dan segala yang dirancang sepanjang latihan dapat berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, dia juga ingin peminat Hijau Kuning sekali lagi dapat hadir ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan Kedah.

Khamis, Disember 24, 2009

Final Puncak PERR: Tiket mula dijual seawal jam 10 pagi 28 Dis. 2009

Tiket-tiket akan mula dijual di kaunter astaka utama Stadium Darulaman bermula jam 10 pagi pada hari perlawanan - Isnin, 28 Disember 2009.

HARGA TIKET:
Astaka utama - RM15
Berbumbung - RM10
Terbuka - RM5
Kanak-kanak - RM5


Rabu, Disember 23, 2009

Utusan Malaysia: Kedah mahu tebus kehampaan skuad utama

Oleh SHAHRIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR - Pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah mahu menjadikan perlawanan akhir menentang Perlis di Stadium Darul Aman, Isnin ini sebagai medan untuk menebus kehampaan sukan bola sepak negeri ini yang hambar sepanjang musim 2009.

Selepas 'abangnya', skuad Liga Super Kedah gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang musim 2009, anak buah Mohamed Ramlee kini mahu memastikan kejuaraan dalam kejohanan yang pernah dimenangi Kedah sebanyak enam kali itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pentas perlawanan akhir di gelanggang sendiri Isnin ini memberi ruang dan peluang kepada para pemain untuk menebus maruah bola sepak negeri.

Justeru, katanya, pemain-pemain telah memberikan janji untuk mempamerkan persembahan terbaik mereka dalam usaha meraih kejuaraan ketujuh selepas kali terakhir memenanginya empat tahun lalu.

Katanya, ia sekali gus sebagai 'bonus' kepada peminat dan pasukan bola sepak utama Kedah yang kempunan untuk menikmati kejuaraan selepas dinobatkan juara treble berganda sebelum ini.

"Kita mahukan gelaran juara Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-69 sebagai hadiah penutup tirai musim ini dan penyuntik semangat kepada pasukan Liga Super Kedah untuk mengharungi saingan tahun depan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena persiapan Kedah menjelang perlawanan akhir berkenaan di sini semalam.

Pada majlis itu, para pemain dan jurulatih serta pengurus pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah turut diberikan bonus keseluruhan RM10,400 berikutan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir piala tersebut.

Mahfuz berkata, pertandingan Puncak Piala Emas Raja-Raja merupakan platform terbaik untuk melahirkan pemain pelapis kepada skuad bola sepak utama Kedah memandangkan kebanyakan pemain berusia bawah 23 tahun.

Malah katanya, beberapa pemain juga telah dikenal pasti untuk diserapkan ke pasukan Piala Presiden Kedah.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, para peminat dan penyokong bola sepak negeri ini diminta hadir membanjiri Stadium Darul Aman Isnin bagi memberi sokongan padu kepada skuad berkenaan.

"Sokongan kepada pasukan ini turut bermakna memberi sokongan kepada perkembangan bola sepak Kedah secara keseluruhannya," ujar beliau.

Kosmo!: Kedah azam hadiahkan trofi kemenangan kepada peminat

PEMAIN Kedah yang beraksi pada final Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 menjanjikan aksi terbaik sekali gus mahu menghadiahkan peminat mereka piala kemenangan itu pada aksi di Stadium Darulaman, Alor Setar Isnin depan.

Kemenangan itu yang mampu dicapai juga sebagai bonus pemain kepada peminat setia bola sepak Kedah sekali gus menutup tirai 2009 dengan kejayaan setelah hampa tanpa sebarang piala skuad Liga Super Kedah musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengurusan tidak menjanjikan apa-apa insentif, namun berharap pemain boleh memberi bonus dengan memenangi piala itu.

Katanya, tawaran hadiah sebagai juara RM30,000 diharap menjadi pendorong kepada pemain untuk beraksi cemerlang sekali gus mengulangi kejayaan Kedah meraih piala itu pada 2005.

"Kita juga mahu muncul juara kerana mahu menghadiahkan kemenangan itu sempena keputeraan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Januari depan," katanya pada sidang media di pejabat persatuan itu di Alor Setar, semalam.

Pada final 2005 Kedah muncul juara setelah menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi yang berlangsung di Kota Bharu.



MAHFUZ (empat dari kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain Kedah yang akan menentang Perlis pada perlawanan akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja ke-69 di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.


Turut hadir Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee serta pemain.

Pada majlis itu pengurusan serta pemain turut menerima bonus berjumlah RM10,400 sebagai bonus melangkah ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, penjaring utama pasukan, Mohd. Faizal Abu Bakar menjanjikan aksi terbaik dan berazam untuk menjaringkan gol sekali gus mencapai kemenangan untuk pasukan.

"Saya juga berharap dengan persefahaman dan kombinasi baik rakan sepasukan Kedah mampu meraih kemenangan," katanya yang menjaringkan enam gol sepanjang kejohanan itu.

Sementara itu, penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah pula berharap rakan-rakan dapat membentuk kerjasama berpasukan bagi menyekat gawang dibolosi pasukan lawan.

"Pemain jangan leka, tumpuan kepada perlawanan perlu diberi sehingga ke wisel penamat," katanya.

Seorang pemain berusia 18 tahun, Mohd. Arfan Rashid pula berharap kesungguhan dan semangat beraksi di gelanggang sendiri menjadi pendorong untuk berjaya.

"Diharapkan rakan-rakan dapat menyerap tekanan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri," katanya.

Selain wang tunai RM30,000 juara bakal membawa pulang piala pusingan manakala naib juara akan menerima wang tunai RM15,000.

Perlawanan akhir itu bermula 8.45 malam dengan tiket astaka utama dijual pada harga RM15, berbumbung (RM10) dan terbuka serta kanak-kanak (RM5).

Selasa, Disember 22, 2009

Berita Harian: Mahu ulangi kejayaan 2005 pada final di tempat sendiri bertemu Perlis


TENGKU Amir Shah (tengah) ditemani Rozali (dua dari kiri) serta Takiyuddin (kanan) bergambar bersama kapten Kedah, Amirul Nidzam Mahadzir (dua dari kanan) dan kapten Perlis, Adrien Jurad (kiri) memegang piala pada Majlis Penyerahan Piala Untuk Perlawanan Akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja kali ke-69, di Shah Alam, semalam.

KEDAH yakin dapat meneruskan rentak cemerlang sejak awal pertandingan untuk merampas kembali kejuaraan Puncak Piala Emas Raja-Raja yang pernah enam kali disandangnya, pada perlawanan penentu menentang negeri tetangga, Perlis di Stadium Darulaman, Ahad ini.

Keyakinan itu disuarakan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK) yang juga wakil pengurus pasukan, Syed Ahmad Shukri Syed Abdullah, berdasarkan kekuatan pasukan dari segenap sisi yang diterajui kapten pasukan, Amirul Nizam Mahathir.

Selain itu, Kedah menyandarkan harapan tinggi kepada penyerang muda, Mohd Faizul Abu Bakar yang sudah menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan bagi membantu skuad hijau kuning itu menjadi juara.

Kali terakhir kita menjadi juara ialah pada 2005 dan dengan kekuatan yang kita miliki sekarang, saya yakin pasukan Kedah akan membawa pulang kejuaraan yang dinanti-nantikan.

“Bermain di tempat sendiri pula pasti membakar semangat pemain untuk muncul juara,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Piala Untuk Perlawanan Akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja kali ke-69 di Shah Alam, petang semalam.

Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad (PNSB) merangkap Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Pengerusi PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 akan menerima wang tunai RM30,000 berserta piala pusingan manakala naib juara, RM15,000.

Bagi kapten pasukan Perlis, C Adrien Jurad, dia dan pasukannya akan bermain bermati-matian untuk membawa kembali Piala Emas Raja-Raja yang pernah dimenangi pada 1993.

“Kami akan berusaha menjadi juara dan tidak akan menghampakan penyokong Perlis,” katanya.

Lebih 20,000 tiket aan dijual pada perlawanan kali ini dengan harga RM5, RM10 dan RM15.

Utusan Malaysia: Kedah yakin rampas semula trofi

Oleh AZIAN AZIZ
sukan@utusan.com.my



Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) menyerahkan Piala Emas Raja-Raja kepada Rozali Ismail (kiri) sambil diperhatikan oleh Takiyuddin Hassan pada majlis penyerahan piala tersebut di Shah Alam, semalam.
___________________________________________________________________________

SHAH ALAM – Kedah yakin dapat merampas kembali Piala Emas Raja-Raja yang pernah dimenanginya sebanyak enam kali apabila menentang Perlis pada perlawanan akhir di Stadium Darul Aman, 28 Disember ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Syed Ahmad Shukri Syed Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi pasukan yang cemerlang sepanjang kempen kejohanan ini.

Beliau berkata, selain kapten pasukan, Amirul Nizam Mahathir, Kedah menyandarkan harapan besar kepada penyerang mudanya, Mohd. Faizul Abu Bakar yang telah menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan berlangsung bagi membantu skuad hijau kuning itu menjadi juara.

‘‘Kali terakhir kita menjadi juara ialah pada 2005 dan dengan keadaan kita sekarang, saya yakin pasukan Kedah akan membawa pulang kejuaraan.

‘‘Apatah lagi kita bermain di tempat sendiri pastinya semangat untuk bangkit menyambung tradisi kecemerlangan akan lebih lagi,” katanya yang ditemui pada majlis penyerahan Piala Emas Raja-Raja kali ke-69 di sini, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga merangkap Penasihat Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Pengerusi PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 akan menerima RM30,000 berserta piala pusingan sementara naib juara akan membawa pulang RM15,000.

Sementara itu, Amirul Nizam ketika ditemui turut melahirkan keyakinan yang pasukannya dapat menumpaskan Perlis 2-1 pada pertemuan akhir nanti.

‘‘Kami punya kelebihan kerana mempunyai gabungan pemain lama yang terdiri bekas pemain Liga Super dan baru selain sokongan dan tunjuk ajar jurulatih kami, Mohamad Ramlee.

‘‘Bagaimanapun kami tidak memandang rendah kebolehan skuad Singa Utara kerana mereka juga tidak kurang hebatnya,” tambah beliau yang mengharapkan sokongan padu peminat bola sepak sepak Kedah.

Bagi kapten pasukan Perlis, Adrien Jurad a/l Chamrong, beliau dan pasukannya akan bermain bersungguh-sungguh untuk membawa kembali Piala Emas Raja-Raja yang pernah dimenangi pada tahun 1993.

‘‘Kami akan berusaha untuk menjadi juara dan tidak akan menghampakan penyokong Perlis,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rozali ketika bercakap pada sidang akhbar yakin perlawanan pukul 8.30 malam di Stadium Darul Aman nanti menyaksikan kehadiran lebih 20,000 penonton yang terdiri daripada peminat bola sepak kedua-dua pasukan.

Beliau berkata, Puncak Niaga akan menaja sejumlah tiket percuma untuk sekolah-sekolah terpilih di Kedah dan Perlis selain membawa 100 ahli Pasukan Briged Penyelamat Sungai Puncak Niaga dari Selangor untuk menonton perlawanan di Kedah.

‘‘Kita juga akan menghantar jemputan kepada baginda Sultan Kedah dan Raja Perlis untuk menyaksikan perlawanan ini,” katanya.

Lebih 20,000 tiket akan dijual untuk perlawanan kali ini pada harga RM5, RM10 dan RM15.

Isnin, Disember 21, 2009

Utusan Malaysia: Lebih 100 tiket percuma pertandingan akhir Piala Emas Raja-raja

SHAH ALAM 21 Dis. — Lebih 100 tiket percuma diberikan sempena perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja ke-69 anjuran Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) yang bakal berlangsung pada 28 Dis ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Penasihat PBSMM Tan Sri Rozali Ismail berkata 100 tiket percuma itu dikhaskan untuk Bridget Penyelamat Sungai iaitu kelab di bawah Puncak Niaga (M) Sdn Bhd yang muncul sebagai penaja kejohanan yang diadakan sejak tahun 1922.

Beliau berkata tiket-tiket percuma juga diberikan kepada beberapa sekolah terpilih di kedua-dua negeri yang akan beraksi pada pertandingan akhir kejohanan itu iaitu Perlis dan Kedah. - Bernama

Perlawanan Akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja ke-69 2009


Harian Metro: Misi Kedah tercapai


Oleh Bashah Zainol Abidin

am@hmetro.com.my


KETUA jurulatih Kedah, Mohamed Ramlee teruja dengan kejayaan pasukannya mengatasi Singapura 2-1 di Stadium Darulaman kelmarin pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Emas Raja-Raja sekali gus layak ke final menerusi agregat 3-2.

Menurutnya, kehadiran 15,000 peminat setia Kedah di Stadium Darulaman membakar semangat pemainnya untuk mengatasi lawan.

"Saya bersyukur kerana kami berjaya mencapai matlamat beraksi pada perlawanan akhir yang ditentukan gelanggangnya esok (hari ini) oleh Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM).

"Saya berdoa agar kami dapat mengulangi kejayaan muncul juara pada musim 2005 apabila bertemu Perlis kelak.

"Anak buah saya tidak akan berehat bagi memastikan Piala Emas Raja-Raja jadi milik kami Isnin ini sekali gus melegakan ribuan peminat Kedah yang hampa selepas pasukan Liga Super kehilangan tiga kejuaraan yang disandang sejak dua musim lalu," katanya.

Menurutnya, dia juga yakin setiap ruang tempat duduk Stadium Darulaman dipenuhi jika final diadakan di sana sekali gus pasti memberi kelebihan kepada pasukan bimbingannya.

"Saya tabik dengan kesungguhan serta semangat tinggi pemain dan kelebihan kami sudah pasti kelincahan penyerang muda Mohd Faizal Abu Bakar yang menjaringkan enam gol sehingga semalam (kelmarin).

"Saya yakin dia mampu mengulanginya pada final untuk kami mengakhiri 2009 dengan kejayaan menjulang Piala Emas Raja-Raja," kata Mohamed.

Puncak PERR 2009: Stadium Darulaman venue penentuan juara edisi ke-69

Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) telah memilih Stadium Darulaman, Alor Setar sebagai venue perlawanan akhir kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja ke-69 yang akan berlangsung pada 28 Disember depan.

Pemain PERR Kedah 2009

10
NAMA: Mohd Naim bin Yusoff
PANGGILAN: Naim
TARIKH LAHIR:
26.10.1989 (20 tahun)
POSISI: Penyerang
STATUS:
Pemain Piala Presiden Kedah 2009

dsc_6259
PANGGILAN: Kanu
TARIKH LAHIR: 17.08.1990
POSISI: Pertahanan
STATUS:
Pemain Piala Presiden Kedah 2010

dsc_6252

Ahad, Disember 20, 2009

Puncak PERR 2009: 'Sepet' bawa Kedah ke final


Kedah 2 Mohammad Faizal Abu Bakar 28', 82'
Singapura 1 Dalis Supait 41' (pen)
(Kedah layak ke final dengan aggregat 3-2)

Penyerang utama yang juga merupakan penggempur pasukan skuad Liga Super Kedah, Mohammad Faizal Abu Bakar muncul wira setelah dua jaringannya berjaya membawa Kedah melangkah ke final Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-69 dengan keputusan aggregat 3-2 menewaskan Singapura.

Sabtu lalu Kedah dan Singapura terikat 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Jalan Besar.

Faizal atau lebih dikenali dengan nama timangan 'Sepet' di kalangan pemain dan peminat bola sepak pasukan Kedah berjaya menggamatkan Stadium Darulaman pada minit ke-28 hasil percubaan dari sebelah kiri bekas pemain UPB/MyTeam Mohd Kamal Azira Abd Manah yang gagal ditangkap kemas Riduan Barudin dan Faizal terus merembat masuk bola yang melantun di hadapannya menerjah jaring gol Singapura.

FAIZAL lebih dikenali sebagai 'Sepet'. - Foto Jeebsion

Singapura yang diperkuatkan dengan bekas bintang bola sepak kebangsaannya Mohd Rafi Ali, 36 dan Nazri Nasir, 38 yang pernah baraksi di dalam Liga Malaysia sekitar awal tahun 90-an kembali mengikat kedudukan 1-1 setelah Dalis Supait berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-41.

Bermula babak kedua, Mohamad Ramlee kembali merencanakan strategi baru buat anak-anak buahnya yang berjaya melancarkan serangan dan mengasak ke kubu lawan. Namun, beberapa penyudah yang agak lemah dan tersasar menghampakan 15,000 penyokong yang hadir.

Dengan asakan bertali arus daripada pasukan Kedah, pemain Singapura akhirnya terpaksa akur dengan sentuhan penyudah Faizal pada minit ke-82. Bermula daripada gerakan solo kapten pasukan Mohd Fazliata Taib dari kawasan Kedah kemudiannya melebarkan bola kepada Muhd Alif Aswat Baharin di sebelah kanan padang sebelum membuat hantaran dan singgah di kepala Faizal yang menanduk cantik ke dalam gawang Singapura.

Dengan kemenangan ini, Kedah akan bertemu pasukan jiran, Perlis di pentas final pada 28 Disember ini di mana tarikh awal dijadualkan pada 26 Disember.

Pada perlawanan terdahulu, Perlis menewaskan Johor 3-0 di Kangar.


KEDAH: Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Mohd Fazliata Taib, Mohammad Nizat Salleh, Md Nor Safwan Md Zain, Mohd Zulfaizham Kamis, Mohd Arfan Rashid, Amirul Nizam Mahadzir (Tan Yang Wei), Wan Mohd Asraf Wan Ali, Mohammad Faizal Abu Bakar, Mohd Naim Yusoff (Muhammad Alif Aswat Baharin)

SINGAPURA: Riduan Barudin, Taufiq Rahmat, Nazri Nasir, Khairul Solyhin, Dalis Supait, Ratna Suffian Ishak, Selamat Jalit, Mohd Rafi Ali, Muhammad Yazid Mohamed Yazam, Nahar Daud, Azhar Baksin

Rabu, Disember 16, 2009

K League 2009: Cabaran PBMK berakhir

KS SUK 2
PBMK 0

Cabaran dan saingan pasukan PBMK dalam saingan Liga Kedah 2009 akhirnya tersekat setelah tumpas di tangan pasukan KS SUK di peringkat suku akhir menerusi dua jaringan penalti yang dijaringkan pada separuh masa pertama dan kedua.

Kedua-dua pasukan bermain dengan corak berhati-hati kerana majoriti pemain yang diturunkan di padang Kompleks TNB, Alor Setar petang semalam bakal beraksi di Stadium Darulaman pada perlawanan separuh akhir kedua kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja menentang Singapura Sabtu ini.

Selasa, Disember 15, 2009

Harian Metro: Kedah sasar ke final

Oleh Shukri Matt Ali
sukan@hmetro.com.my

SELEPAS beraksi cemerlang dengan mengikat tuan rumah, Singapura, 1-1 malam kelmarin, Kedah tidak akan berdiam diri sebaliknya mahu mencipta sejarah dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darulaman, Alor Setar, Sabtu ini.

Dikendalikan bekas pemain kebangsaan era 80-an dan awal 90-an, Mohamad Ramlee, skuad Hijau Kuning memerlukan kemenangan dalam perlawanan penentuan itu bagi melangkah ke final dan memadamkan prestasi hambar yang dialami dalam saingan Liga Malaysia musim lalu.

“Kami tiada pilihan melainkan mencipta kejayaan untuk mengotakan matlamat asal pembentukan pasukan yang mahu bersaing hingga ke final,” kata pengurus pasukan, Firdaus Jaafar, yang juga Ahli Parlimen Jerai ketika ditemui di Gurun, Kedah, semalam sebaik pulang dari Singapura.

Katanya, pemainnya pasti berdepan saingan sengit kerana pelawat yang turut disertai tiga pemain kebangsaan republik itu tentu tidak mahu dikecewakan lagi di gelanggang lawan.

Menurutnya, pemain Kedah berada di tahap terbaik pada masa ini dan berharap sorakan penonton tempatan dan peminat setia yang bakal membanjiri Stadium Darulaman akan menyuntik kemenangan bermakna.

Dalam pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar, kelmarin, Kedah berjaya mengikat Singapura menerusi gol Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-70 selepas tuan rumah mendahului pada minit ke-51 menerusi ketua pasukan, Nazri Nasir.

Berdasarkan prestasi pemainnya, Firdaus yakin Mohamed yang dibantu penolong jurulatih, Idris Man dan Hussin Jaafar, yakin skuadnya mempunyai peluang untuk mempamerkan persembahan menarik.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Arena/20091215075536/Article/index_html