Jumaat, Oktober 02, 2009

PBSMM Bakal Mewarnai Liga Malaysia 2011

Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) akan membentuk satu pasukan seterusnya menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi tahun 2011, demikian dimaklumkan oleh YB. Dato' Hj. Takiyuddin Hj. Hassan, Presiden PBSMM.

Menurut Presiden PBSMM itu lagi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini telah memberi lampu hijau kepada PBSMM untuk mempersiapkan pasukan bagi menyertai Liga M 2011. Sehubungan itu PBSMM telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memastikan persiapan kearah itu berjalan lancar.

Pengumuman tersebut dibuat pada 'Mesyuarat Ahli Majlis PBSMM kali Pertama' selepas mesyuarat agung tahunan yang diadakan bulan lalu yang mana menyaksikan Dato' Takiyuddin yang sebelum ini hanya memangku jawatan Presiden dipilih sebagai Presiden yang baru.

Mesyuarat juga memutuskan bahawa saingan Piala Emas Raja-Raja musim ini akan diadakan selepas perlawanan Piala Agong di antara Kelantan dan Johor yang akan diadakan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bahru, Kelantan pada 13 November 2009.

Seperti tahun lalu cabaran peringkat awal Kejohanan Piala Emas Raja-Raja musim ini akan dijalankan mengikut format zon dengan Pulau Pinang selaku tuan rumah bagi Zon Utara, Terengganu bagi Zon Timur, Selangor bagi Zon Tengah manakala kedudukan venue Zon Selatan masih belum diputuskan berikutan Johor dan Singapura kedua-duanya menawarkan diri sebagai tuan rumah.

Turut dibincangkan ialah langkah PBSMM meneruskan usaha untuk merealisasikan penganjuran 'Pertandingan Bola Sepak Melayu Nusantara', menyertai pertandingan-pertandingan jemputan di luar negara di samping menggalakkan badan-badan gabungan negeri menganjurkan aktiviti masing-masing ke arah pembangunan sukan bola sepak di negara ini.

Juga dimaklumkan pada mesyuarat tersebut adalah kesediaan sebuah syarikat korporat sebagai penaja pertandingan Piala Emas Raja-Raja 2009 di mana ianya bakal diumumkan dalam sedikit masa lagi.

Tiada ulasan: