Jumaat, Oktober 02, 2009

Kosmo!: PBSMM sertai Liga M mulai 2011

KANCAH Liga Malaysia (Liga M) 2011 bakal menyaksikan penyertaan pasukan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM).

Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini telah memberi lampu hijau kepada PBSMM untuk mempersiapkan pasukan menyertai Liga Malaysia mulai musim 2011.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, PBSMM telah menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diketuai Timbalan Presidennya, Anuar Awad bagi memastikan persiapan ke arah itu berjalan lancar.

"Buat permulaan, kami akan bersaing dalam kempen Piala FAM dan jika berkemampuan, kami sedia untuk bersaing pada saingan Liga Perdana pada musim berikutnya," kata Takiyuddin selepas Mesyuarat Ahli Majlis PBSMM di Kelana Jaya semalam.

Dalam pada itu, PBSMM turut bersetuju untuk menganjurkan Kejohanan Piala Dunia Melayu 2011 sejajar dengan penganjuran Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

"Kami cuba untuk menarik minat komuniti Melayu di negara seperti Afrika Selatan, Sri Lanka dan negara lain di Asia Tenggara," tambah Takiyuddin.

Mesyuarat semalam turut memutuskan bahawa saingan Piala Emas Raja-Raja musim ini akan diadakan selepas perlawanan Piala Agong antara Kelantan menentang Johor di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada 13 November 2009.

Cabaran peringkat awal Kejohanan Piala Emas Raja-Raja musim ini akan dijalankan mengikut format zon dengan Pulau Pinang selaku tuan rumah Zon Utara, Terengganu (Zon Timur), Selangor (Zon Tengah).

Namun, kedudukan tuan rumah Zon Selatan belum dapat diputuskan berikutan Johor dan Singapura menawarkan diri sebagai tuan rumah.

Turut diputuskan dalam mesyuarat tersebut ialah usaha PBSMM untuk meneruskan usaha menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Melayu Nusantara selain menyertai pertandingan-pertandingan jemputan di luar negara.

KOSMO! Sukan: Jumaat, 02 Okt. 2009

Tiada ulasan: