Khamis, Disember 31, 2009

Kosmo!: 'Satu pengajaran berguna'


SEGELINTIR penyokong Kedah membaling objek ke arah anggota FRU kerana tidak berpuas hati selepas seorang penyokong ditahan ketika masuk ke kawasan padang pada final Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 di Stadium Darul Aman, Isnin lalu.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) menganggap insiden keganasan penyokong pada final Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Isnin lalu sebagai satu pengajaran berguna.

Menurut Takiyuddin, aspek keselamatan yang longgar ditambah sikap para penyokong itu sendiri menyumbang kepada berlakunya insiden yang dianggapnya tidak pernah berlaku dalam sejarah penganjuran kejohanan tersebut.

"Kawalan keselamatan yang longgar mungkin serba sedikit menjadi faktor tetapi sikap penonton yang tiada semangat kesukanan dengan menyerbu padang telah memburukkan lagi keadaan.

"Kita jadikan ini sebagai pengajaran untuk masa akan datang dengan tidak boleh mengambil ringan soal keselamatan semasa perlawanan dan perlu mendidik para penyokong.

"Tapi dalam masa sama, kita berasa gembira juga kerana penyokong memberikan sambutan hangat terhadap kejohanan ini, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya adakah pihak PBSMM sudah menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta penjelasan pihaknya, Takiyuddin berkata, setakat petang semalam, mereka masih belum menerimanya.

"Tetapi kami akan minta Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK) sebagai tuan rumah untuk menyediakan laporan dari segi persiapan dan keselamatan jika kami menerima surat daripada FAM itu. Kemudian kami akan balas semula penjelasan tersebut kepada pihak FAM," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin menganggap saingan Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-69 kali ini sebagai berjaya dengan faktor utamanya ialah suntikan penajaan daripada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd.

"Kami jangka saingan musim 2010 nanti akan lebih menarik dengan kami merancang membuat beberapa perubahan dan kejutan. Lagipun Puncak Niaga akan terus menjadi penaja kejohanan ini pada tahun depan," ujarnya.

Selasa, Disember 29, 2009

Final Puncak PERR: Final 2009 catat sejarah

Kehadiran penonton melebihi angka 30,000 dan 'amukan' penyokong Kedah antara sejarah yang mewarnai dan terpahat pada kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-69 melibatkan pertembungan Kedah menentang Perlis yang berakhir semalam, 28 Disember.

Tanpa diduga, kejohanan PERR yang selama ini dipandang sepi oleh peminat-peminat bola sepak Malaysia akhirnya telah berjaya membuka mata banyak pihak terutama sekali organisasi-organisasi sukan yang bertanggunggjawab membangunkan sukan ini.

Tiga faktor dilihat sebagai punca 'ledakan' sambutan para penonton pada final kali ini antara dua pasukan berjiran dari utara tanahair kali ini adalah kerana bantuan dari segi penajaan, peranan pihak media di dalam mempromosikan kejohanan PERR dan pentas akhir yang dibawakan aksinya di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah.

Pertamanya ialah kejohanan kali ini yang mendapat suntikan kewangan sebanyak RM200,000 daripada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. selaku penaja utama melalui Tan Sri Rozali Ismail yang mana sedikit sebanyak telah membantu Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) untuk menganjurkan PERR kali ini dengan lebih efektif.

Kedua, tidak dapat dinafikan publisiti meluas yang dimainkan oleh pihak media tidak kira di dada-dada akhbar di ruangan sukan, corong-corong radio terutama sekali melalui siaran Kedah fm dan di kaca-kaca televisyen telah dimanipulasikan sebaiknya oleh puluhan ribu peminat bola sepak Kedah untuk membanjiri gelanggang keramat pasukan Hijau Kuning.

Dan 'kegilaan' kepada bola sepak di kalangan rakyat negeri Kedah sendiri menjadi faktor ketiga mengapa PERR 2009 kali ini menyusuri detik-detik kemeriahannya dan penuh warna-warni yang diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Muda Kedah Darul Aman yang turut sama menyaksikan perlawanan tersebut sekaligus mengangkat prestij Piala Emas Raja-Raja sendiri sebagai lambang kebanggaan bola sepak dan Raja-Raja Melayu.

Kebanjiran peminat-peminat bola sepak Kedah ke Stadium Darulaman pada final Puncak Piala Emas Raja-Raja Isnin lalu adalah di luar jangkaan. - Foto Jeebsion

Selain kejayaan menarik minat penonton bagi saingan yang selama ini dianggap sebagai kejohanan 'kelas ketiga' di belakang pertandingan Liga Malaysia, PERR 2009 juga dipalit dengan episod rusuhan oleh segelintir penyokong Kedah yang hadir untuk memberikan sokongan. Mereka mula memasuki padang setelah banyak keputusan pengadil perlawanan dikatakan agak kontroversi. Perkara yang berkaitan dengan pegawai yang mengendalikan perlawanan ini seharusnya dilihat dengan lebih serius dan mendalam setelah ia turut berlaku di dalam saingan Liga Malaysia tidak lama dulu apabila penonton masuk ke dalam padang untuk membuat protes terhadap pengadil.

Tahniah buat pasukan Perlis yang telah merangkul kejuaraan kali ini dan syabas buat penyokong Kedah kerana berjaya mengangkat nama Piala Emas Raja-Raja!

Malaysia: Perlis juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009



Pemain-pemain Perlis meraikan kejayaan menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2009 selepas menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi. - Utusan / kamal Basir

ALOR SETAR - Dendam 13 tahun Perlis berbalas malam tadi apabila mencipta kemenangan 2-0 ke atas Kedah untuk menjuarai perlawanan Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 dalam saingan akhir mendebarkan yang turut dicemari rusuhan penonton di Stadium Darulaman, di sini.

Insiden tersebut berlaku pada lima minit terakhir permainan apabila sebilangan penonton memasuki padang untuk memaksa pengadil Mohd. Nazer Mohd. Said dari Selangor memberhentikan perlawanan pada lima minit terakhir saingan.

Ini turut mengundang aksi tegang di tengah gelanggang yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan Mohd. Nazer kepada dua pemain Perlis, Romdhizat Jamian dan Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman dan seorang pemain Kedah, Mohd. Fazliyata Taib.

Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas campur tangan pasukan Polis Simpanan Persekutuan untuk perlawanan disambung kembali.

Sebelum itu, Perlis yang ditewaskan Kedah dalam perlawanan akhir pada 1996 itu beraksi cemerlang walaupun bermain di gelanggang lawan dengan menghasilkan jaringan menerusi Romdhizat pada minit keempat dan Andrien Jurad Chamrong pada minit ke-18.

Kemenangan anak-anak buah jurulatih Kamal Idris Ali itu mencatat kejuaraan kali ketiga selepas melakukannya pada 1967 dan 1993. Pada 1967 Perlis menewaskan Singapura 3-0 manakala pada 1993 pasukan berkenaan mengalahkan Pulau Pinang 1-0.

Sementara Kedah, selain mencatat kejuaraan 1996, sebelum itu menjuarai pertandingan sama pada 1948 dan 1949, 1952 dan 1953 serta 2005.

Kemenangan semalam menyaksikan Perlis selain merangkul piala pusingan, membawa pulang hadiah RM30,000 manakala Kedah memperoleh RM15,000.

Lebih menggembirakan, Andrien Jurad turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009.

Di Stadium Darulaman semalam, perlawanan boleh diibaratkan sebagai bermulanya era baru bola sepak Melayu berdasarkan kepadatan 30,000 penonton yang memenuhi segenap penjuru stadium.

Ia turut disaksikan Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Malik Mu'adzam Shah; Puteri Sultan Kedah, Tunku Datuk Seri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sebaik perlawanan edisi ke-69 itu bermula, Kedah yang disokong ribuan penonton di gelanggang sendiri memulakan asakan bertali arus ke kubu Perlis tetapi kegagalan mencari penyudah menyaksikan skuad hijau kuning kempunan gol awal.

Sebaliknya, serangan balas yang diatur pantas skuad Perlis menghasilkan jaringan apabila Romdhizat menyepak kencang mengatasi penjaga gol Kedah, Mohd. Khairul Azuan untuk mendahului 1-0 pada minit keempat.

Ternyata jaringan pendahuluan itu menyemarakkan semangat Perlis untuk meneruskan asakan sehingga membuatkan pertahanan hijau kuning yang diperkuatkan pemain skuad Liga Super Kedah, Mohd. Fazliata semakin cemas.

Akhirnya Perlis menambah jaringan menerusi sepakan percuma Andrien Jurad dari jarak 25 meter menerjah penjuru gawang pada minit ke-18 dan kedudukan kekal sehingga berakhir separuh masa pertama.

Menyedari ketinggalan, Kedah cuba bangkit mencari jaringan penyamaan menerusi asakan bertali arus ke kubu Perlis tetapi ternyata sekali lagi kegopohan melakukan hantaran di kalangan pemain tuan rumah menyelamatkan pasukan pelawat.

Isnin, Disember 28, 2009

Berita Harian: Kedah azam tebus kehampaan

Oleh Bashah Zainol Abidin
bhsukan@bharian.com.my



KETUA jurulatih Kedah, Mohamed Ramlee (dua dari kiri) dan pengurus pasukan, Mohd Firdaus Jaafar (kiri) memberi taklimat kepada pemain Kedah, semalam


DETIK kecewa gagal mempertahankan tiga mahkota kejuaraan dalam Liga Malaysia, musim ini sekadar membuat pemain Kedah bertambah selera mahu menebus kehampaan itu apabila menentang pasukan tetangga, Perlis dalam final kejohanan bola sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darulaman, malam ini.

Pengurus pasukan, Mohd Firdaus Jaafar meluahkan pandangan bahawa ini adalah detik yang tepat untuk menjuarai kejohanan peringkat kebangsaan dan ketika sama hadiah sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah.

Tidak dinafikan peminat setia Kedah dahagakan kejayaan selepas pasukan Hijau Kuning gagal mempertahankan trofi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA yang dimenangi dua musim berturut-turut sebelum ini.

"Barisan pemain muda saya membuktikan kemampuan mereka dengan mengatasi cabaran juara bertahan Kelantan pada suku akhir dan mengetepikan cabaran Singapura pada peringkat separuh akhir dan kini saya yakin mereka mampu mengejutkan Perlis, esok (malam ini).

"Empat pemain pasukan dari skuad Liga Super, Mohd Al-Hafiz Hamzah, Shaffiq Jamal, Mohd Fazliata Taib dan Chun Keng Kong berjaya bergandingan baik bersama barisan pemain muda untuk melakar kejayaan bagi beraksi pada perlawanan akhir.

"Saya yakin Mohd Faizal Abu Bakar yang sudah berjaya menjaringkan enam gol sehingga perlawanan separuh akhir mampu meneruskan kecemerlangan pada perlawanan esok (malam ini) untuk kita dinobatkan sebagai juara musim 2009," kata Firdaus.

BERNAMA: Kedah yakin julang Piala Emas Raja-Raja

ALOR SETAR, 27 Dis (Bernama) -- Kelebihan beraksi di tempat sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kedah untuk merampas kembali trofi Piala Emas Raja-Raja apabila bertemu Perlis dalam perlawanan akhir di Stadium Darul Aman malam Isnin.

Ketua jurulatihnya, Mohammad Ramlee berkata kehadiran penyokong yang ramai merupakan antara faktor penting untuk menyemarakkan semangat pemain mempamerkan aksi terbaik mereka.

Memang tidak dinafikan bahawa bermain di tempat sendiri adalah satu kelebihan bagi kami, namun saya tetap menasihatkan pemain supaya berwaspada ketika beraksi," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Dari kiri: Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Amirul Nizam Mahadzir, Idris Man, Mohamad Ramlee, Husin Jaafar, Mohd Arfan Rashid dan Mohd Naim Yusoff

_______________________________________________

Mohammad berkata pasukan yang kurang melakukan kesilapan berpeluang cerah untuk menang kerana pentas akhir adalah sesuatu yang berbeza berbanding saingan peringkat kumpulan.

Kedah mara ke perlawanan akhir apabila mengatasi Singapura dengan agregat 3-2 manakala Perlis menyingkirkan Johor dengan agregat 3-0.

Kali terakhir Kedah menjulang piala tersebut ialah pada tahun 2005 apabila mengalahkan Kelantan 2-1.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dijangka berangkat menyaksikan perlawanan itu.

-- BERNAMA

Sabtu, Disember 26, 2009

Sinar Harian: Kedah mahu julang Piala Emas Raja-raja 2009

ALOR SETAR- Pemain pasukan Kedah kini sedang menyiapkan diri mereka untuk bertemu dengan pasukan Perlis pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-raja yang bakal berlangsung Isnin ini di Stadium Darul Aman.

Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee berkata, anak buahnya kini sedang menjalani latihan pada setiap petang bagi memastikan kesefahaman di antara pemain.

Menurutnya, latihan yang diadakan itu bukan sahaja mencari persefahaman antara pemain malah turut menumpukan pada bahagian tengah dan serangan dalam memantapkan permainan.

“Sewaktu bertemu Singapura tempoh hari kita lihat terdapat kelemahan, dan latihan kali ini kita lebih fokus pada dua bahagian itu.

“Selain itu kita masih mengekalkan lima pemain daripada Liga Super Kedah yang dapat membantu pemain lain beraksi pada malam kemuncak itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad berkata, pasukan Kedah yang pernah bertemu Perlis sewaktu pusingan awal tempoh hari menyaksikan pasukan itu bukanlah pasukan yang mudah untuk ditumbangkan dan oleh kerana itu beliau mahu memastikan anak buahnya sentiasa bersemangat sepanjang perlawanan.

“Apa yang diharapkan kini daripada pemain adalah komitmen penuh untuk berlatih dan berentap pada perlawanan itu dan segala yang dirancang sepanjang latihan dapat berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, dia juga ingin peminat Hijau Kuning sekali lagi dapat hadir ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan Kedah.