Rabu, Julai 15, 2009

Setahun Pemergian Allahyarham Dato' Paduka Hj Ahmad Basri Mohamad Akil...

Tanggal 15 Julai 2009 genap sudah setahun pemergian 'Bapa Pembangunan Bola Sepak Negeri Kedah'. Namanya sudah sinonim dengan dunia bola sepak di seantero Malaysia. Kehilangannya amat dirasai tatkala rakyat jelata di negeri Kedah sedang berbangga menyambut Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman pada tarikh yang sama tahun lalu.

Pemergian Allahyarham Datuk Paduka Hj. Ahmad Basri cukup dirasai oleh seluruh warga PBMK. Ketika hayatnya sebelum hukuman penggantungan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jawatan selaku Presiden PBMK adalah hak mutlak Allahyarham. Dengan penuh kesabaran, PBMK terus menantikan tempoh penggantungannya itu tamat untuk membenarkan Allahyarham kembali ke lapangan pengurusan bola sepak di negeri Kedah. Umpama menunggu bulan jatuh ke riba, Allahyarham telah pergi meninggalkan PBMK dan dunia bola sepak tanahair buat selama-lamanya...

Jika tidak kerana buah fikiran dan kebolehan Allahyarham Datuk Paduka Hj. Ahmad Basri, tidak mungkin wujud simbol sebilah keris yang bersarung serta kombinasi ideal warna merah, hijau dan kuning yang terdapat pada logo PBMK.

Sesungguhnya, jika hendak terus diperkatakan tentang kebolehan, jasa serta peninggalan beliau di dalam menyumbang pelbagai idea kreatif dan kritis terhadap sukan bola sepak mahupun PBMK sendiri, mungkin tidak cukup ruang yang tersedia ini. 'Pemergianmu tiada galang-gantinya'...

Salam takziah dari seluruh ahli PBMK.

Al-Fatihah......

BADRUL HISHAM HJ. MOHD RIDHWAN
Penolong
Setiausaha Kehormat PBMK

Tiada ulasan: